Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah ditubuhkan dan diasaskan oleh
Muhammad Thani Bin Sha'aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah,
Jalan Kepong, Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987. Pasukan ini pada
mulanya dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) yang
merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-pelajar
Islam SMRA (PERWIRA) Keahliannya adalah seramai 20 orang pelajar
yang terdiri daripada pelajar daripada tingkatan 1 dan 2.
Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar
cemerlang yang BERILMU BERIMAN dan BERAMAL, berakhlak mulia,
bersemangat patriotik dan berketrampilan, selaras dengan usaha
dan hasrat mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan Negara ke arah
Wawasan 2020.
Pasukan KPIM ini bernaung di bawah pengawasan Unit Pendidikan
Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Setiap aktiviti
yang dijalankan adalah berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA KEHIDUPAN
(AD-DEEN). Mulai tahun 1989, beberapa buah sekolah di Wilayah
Persekutuan telah mula menubuhkan KPIM.
Pada
tahun 1993, sebanyak 53 buah sekolah menengah di seluruh negara
telah menubuhkan KPIM. Usaha untuk menubuhkan KPIM secara rasmi
dan; bernaung di bawah Kementerian Pendidikan telah dimulakan
pada 10 Ogos 1993, dan satu pertemuan telah diadakan dengan Yang
Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid b. Wan Mohd Nordin,
iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 13 September 1993.
Tesis mengenai KPIM telah dibentangkan dalam pertemuan ini.
Hasil daripada pertemuan tersebut, sebuah jawatankuasa kecil
telah dibentuk untuk menyediakan kertas kabinet, dan
jawatankuasa ini telah mencadangkan agar pasukan ini diberi nama
KADET PUTERA-PUTERI ISLAM (KPIM).
Walaubagaimanapun, nama pasukan ini telah ditukar kepada KADET
REMAJA ISLAM (KRIS). Sementara itu, taklimat dan pendedahan
kepada Pengarah-pengarah bahagian Kementerian Pendidikan yang
telah diadakan pada bulan Oktober 1993 telah dipengerusikan oleh
Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid telah membuat
keputusan agar nama pasukan ini ditukar kepada Kadet Remaja
Sekolah yang membuka keahliannya kepada semua kaum sama ada
lelaki atau perempuan.
Upacara Pelancaran Kadet Remaja Sekolah Peringkat Kebangsaan
telah dilaksanakan pada 20 Jun 1995 bersamaan 21 Muharram 1416
oleh Yang Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak,
Menteri Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Raja Abdullah,
Jalan Kepong, Kuala Lumpur.
Pada
bulan November-Disember tahun yang sama, seramai 300 orang guru
telah dilatih sebagai jurulatih Kadet Remaja Sekolah peringkat
negeri. Pelaksanaan Kadet Remaja Sekolah sebenarnya mempunyai
keunikan konsep dan falsafahnya yang tersendiri yang membezakan
pasukan ini dari pasukan-pasukan beruniform yang lain. Kegiatan
yang dijalankan, digandingkan dengan unsur-unsur pengukuhan dan
pemantapan jiwa dan rohani setiap anggota pasukan. Pelajar yang
meanggotai pasukan ini bukan sahaja dibangunkan dari aspek
jasmaninya melalui kegiatan kegiatan yang mencabar inteleknya
melalui kegiatan-kegiatan kreatif, bahkan juga jiwa dan
rohaninya melalui amalan-amalan langsung ibadah khusus dan umum.
 |