Sekolah Kebangsaan Seri Pasir dibuka pada tahun 1947. Pada asalnya sekolah ini hanya mempunyai satu blok bangunan yang terletak di Kampung Seri Pasir, berhampiran dengan tebing sungai Simpang Kiri. Kemudian pada tahun 1962 ia dipindahkan ke satu tempat yang lebih strategik.
Kini Sekolah Kebangsaan Seri Pasir mempunyai empat buah blok termasuk sebuah kantin. Dengan kedudukan yang strategik mempunyai kawasan setempat sekolah Agama Seri Pasir dan Tadika Seri Pasir, Keadaan inio tidak ubah menggambarkan sebuah Kompleks Pendidikan.
Sekolah Kebangsaan Seri Pasir terletak di Mukim 18 Seri Medan, Batu Pahat. Ia dihubungkan dengan pekan Seri Medan dengan satu jalan berturap yang jaraknya lebih kurang 3 km. Oleh kerana kedudukannya yang agak jauh dari bandar Batu Pahat, sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Luar Bandar.
Antara sekolah-sekolah dalam Zon Seri Medan, Sekolah Kebangsaan Seri Pasir merupakan sekolah yang agak besar dengan jumlah muridnya 400 orang, dan bilangan tenaga pendidik dan kakitangan seramai 29 orang. Justeru itu ia merupakan 'feeder school' yang utama kepada Sekolah Menengah Seri Medan.
Sekolah Kebangsaan Seri Pasir dikelilingi oleh kampung-kampung Melayu tradisi yang penduduknya terdiri daripada orang Jawa, Banjar dan Melayu. Kampung-kampung tersebut ialah Parit Terus, Parit Lapis Terus, Parit Lapis Seri Pasir, Parit Haji Khalid, Parit Simis, Parit Lapis Simis, Parit Lapis Bangas. Kampung-kampung ini mempunyai penduduk yang agak padat. Kepadatan penduduk inilah menjadikan ianya sebagai sumber pertambahan murid sekolah ini tahun demi tahun.
Sebahagian besar ibubapa dan penjaga murid mempunyai latar belakang sosio-ekonomi yang berbeza. Mereka adalah terdiri daripada petani, penoreh getah, pekebun dan mengambil upah. Tidak kurang yang menjadi buruh, bekerja sendiri, bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan juga di kilang-kilang. Penduduk kampung di sini memperoleh pendapatan yang memuaskan.