. 
 
  
Masjid Negeri Pahang Darul Makmur di bandar Kuantan dikelilingi bangunan-bangunan disekitarnya 

| recommended display 800 x 600 | 

 
 
Kelahiran Rasulullah Membawa Rahmat  
petikan dari suara sejati, BKIPK kuantan, pahang, malaysia.  

12 RabiulAwal 1420 bersama 26 jun 1999 ini adalah
bulan keputeraan Baginda Rasulullah s.a.w yang
disambut dan dirayakan oleh umat islam di seluruh
dunia termasuklah di negara kita, malaysia. Dimana
pada setiap hari ini telah dijadikan hari cuti umum di
malaysia bagi meraikan hari kelahiran Nabi
Muhammad s.a.w.

Tahun kelahiran Baginda s.a.w. ini juga dikenali dengan
tahun gajah (Aamul fil) kerana serentak dengannya satu
peristiwa besar iaitu serangan tentera Habsyah yang
bergajah hendak meruntuhkan ka'abah (Baitullah) bagi
mengalih perhatian orang-orang arab supaya berqiblatkan
dan mengerjakan haji ke gereja mereka di Yaman.
Peristiwa ini telah digambarkan oleh Al-Quran dengan
satu surah yang khusus iaitu surah Al'Fil (gajah).

Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

"Dan Allah telah menghantarkan kepada mereka
rombongan burung-burung yang berpasukan yang
melontar mereka dengan batu-batu dari jenis tanah
yang dibakar keras, lalu Allah menjadikan mereka
hancur seperti daun-daun kayu dimakan ulat"

Peristiwa ini berakhir dengan tentera-tentera Abrahah yang
yang bergajah itu musnah dihujani oleh butiran-butiran batu
dengan kekuasaan Allah yang digugurkan oleh burung -
burung yang diutuskan Allah.

Peristiwa bersejarah ini juga merupakan diantara mukjizat
sempena kelahiran Nabi Besar kita, Muhammad s.a.w.
yang kita sambut dan raikan setiap ketibaan bulan
RabiulAwal setiap tahun. ketibaannya disambut dengan
berbagai acara sambutan, samada dengan berselawat
beramai-ramai atau dengan mengadakan ceramah, forum
dan sebagainya. itu tidak lain hanyalah untuk memperingati
dan mengulangkaji semula sejarah hidup serta perjuangan
Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan contoh-contoh
tauladan sebagaimana yang digambarkan oleh Al-Quran
yang bermaksud;
 
"Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri
Rasulullah s.a.w itu satu contoh ikutan yang
sebaik-baiknya iaitu bagi mereka yang
mengkehendaki keredhaan Allah dan balasan
baik di hari Akhirat serta sering menyebut dan
mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya"

 Surah Al Ahzab : 21 
Sebagai umat Muhammad s.a.w. kita perlu mengingati 
dan mencintai Rasul kita s.a.w. dengan suatu penghayatan 
yang sebenarnya, atau dengan kata lain wajid dihayati 
oleh setiap orang yang beriman sepanjang masa, tidak 
hanya pada waktu-waktu tertentu atau musim-musim 
tertentu seperti mengingati Baginda s.a.w. hanya di bulan 
RabiulAwal ini sahaja. Cuma yang lebihnya memperingati 
Baginda s.a.w. di bulan Maulid ini adalah lebih khusus 
kerana Baginda mengikut riwayat yang paling mashyur 
dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun gajah. 
Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis yang diambil 
dari Qatadah yang bermaksud; 

"Bahasanya Rasulullah s.a.w., apabila ditanya 
mengenai puasa pada hari isnin, maka Baginda 
bersabda : itulah hari dimana aku diperanakkan dan 
hari mula turun wahyu kepada ku"  

H.R.Muslim 

Di dalam keadaan dan suasana manusia yang sedang 
hanyut dan tenggelam di dalam arus jahiliyah, manusia 
yang sedang berada di julang api neraka, di saat 
manusia membunuh sesama sendiri, di kala manusia 
lupa Tuhan yang sebenarnya dengan menyembah 
bahala, tidak mengenali hakikat agama yang dibawa 
oleh nabi-nabi terdahulu dan menyelewang daripada 
ajaran yang sebenarnya.Di tengah-tengah keadaan 
inilah, maka lahirlah sinaran dan cahaya islam yang 
dibawa oleh seorang pesuruh Allah iaitu Nabi 
Muhammad s.a.w. Ajaran yang suci ini telah dibawa 
oleh seorang pesuruh Allah yang terpilih ini, semuanya 
bersumberkan kepada wahyunya daripada Allah s.w.t. 
yang bertujuan untuk menyelamatkan manusia dengan 
mengajak mereka beribadat kepada Allah semata-mata 
dan menjauhi diri dari ajaran yang salah dan sesat. 

Di antara yang terpenting juga untuk perhatian kita 
sebagai  umat Muhammad s.a.w., bahawa tugas 
Baginda diutuskan tidaklah terbatas kepada satu-satu 
kaum atau satu bangsa sahaja sebagaimana rasul-rasul 
yang terdahulu daripada Baginda. Sebagai contoh, 
Nabi Musa a.s hanyalah diutuskan untuk umat yahudi 
sahaja tetapi Nabi kita Muhammad s.a.w. adalah utusan 
Allah untuk manusia seluruhnya. Penegasan ini telah 
disebut oleh Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud; 

"Tidak kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan 
untuk membawa rahmat kepada dunia seluruhnya"  

Surah Al Anbiya : 107 

Oleh itu, bersempena dengan Malidur Rasul pada tahun ini, 
marilah kita sentiasa berusaha mempertingkatkan kefahaman 
kita, kesedaran dan keinsafan kita seterusnya bersedia 
menghayati ajaran islam secara syumul atau menyeluruh 
di dalam seluruh kehidupan kita sepertimana yang 
dikehendaki oleh Allah s.w.t. dan RasulNya. Buat akhirnya, 
marilah kita merenung firman Allah s.w.t. yang bermaksud; 

"Dan katakanlah (Wahai Muhammad) beramal-lah 
kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah 
dan RasulNya serta orang-orang beriman akan melihat 
apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan 
kepada Allah yang mengetahui perkara-perkara yang 
ghaib dan nyata, kemudian Ia (Allah) menerangkan 
kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan" 

Surah At Taubah : 105 

Sekian. Wassalam.