Festival Sirap Maple




[klik gambar untuk besarkan]




Daun Maple
Hutan pokok maple merupakan hutan semulajadi di Kanada.
Jika batangnya ditoreh pada waktu yang sesuai, sap (cairan dari pokok) yang manis akan mengalir keluar. Daun maple pula merupakan simbol negara Kanada.


Festival ini berlangsung setiap tahun di Elmira, yang terletak lebih kurang 16 km ke utara Waterloo. Elmira dan St. Jacobs adalah dua pekan berhampiran Waterloo yang dihuni oleh kaum Mennonite di Kanada. Ianya menandakan kemuncak musim pengumpulan sap maple di Kanada, khasnya di semenanjung Ontario.
Poskad: Kanak-kanak Mennonite



Poskad: Berkereta kuda
Kami bertolak dari rumah awal-awal pagi lagi kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas jika terlambat. Tidak sampai setengah jam kemudian kami sudah masuk ke bandar Elmira. Sepanjang perjalanan, kami dapat lihat kaum Mennonite berniaga sirap maple di pinggir jalan, di hadapan kereta kuda masing-masing.


Untuk mengelak kesesakan, kenderaan pengunjung mesti diletakkan jauh dari tapak festival. Kemudian, traktor ladang mengangkut kami beramai-ramai ke tapak pesta. Dari situ, kami menaiki bas sekolah untuk melihat sendiri proses pengumpulan dan pemprosesan sap maple di sebuah ladang.
Elmira: 1 April 2000



Cara moden
Bas sekolah menurunkan kami di tepi jalan, dan untuk masuk ke ladang tersebut, kami menaiki traktor ladang yang lebih kecil saiznya. Di situ kami bebas berjalan di kawasan ladang untuk melihat sendiri proses yang dijalankan. Untuk mengalirkan sap, batang pokok ditebuk dan disambungkan dengan paip getah sebesar jari kelinking.


Kelihatan merata-rata, paip-paip getah menghubungkan setiap batang maple ke pusat pengumpulan utama. Cara ini menjimatkan masa dan tenaga dibandingkan dengan cara tradisional. Pengumpulan susu getah di Malaysia tidak dapat dilakukan dengan cara serupa kerana kepekatan susu getah yang menyukarkan pengaliran. Untuk tontonan pelawat, beberapa batang pokok maple telah diletakkan baldi untuk menadah sap maple secara tradisional.
Di ladang



Cara tradisional
Kami dapat melihat sap maple yang jernih dan cair seperti air hujan menitis masuk ke dalam baldi. Kepekatan sap bergantung kepada masa ia ditoreh keluar dari batang pokok. Torehan terawal adalah yang paling cair, dan berubah semakin pekat dalam masa seminggu. Selepas itu, rasa sap sudah tidak sedap lagi. Masa pengumpulan yang singkat itu menyebabkan mereka memerlukan pengalaman dan kepakaran untuk menentukan masa paling sesuai menadah sap dari batang pokok.


Kami juga dapat melihat proses sap dimasak sehingga menjadi sirap atau lebih pekat lagi seperti jem. Di sini pelbagai jenis kuih dan manisan maple yang dibotolkan oleh perusahaan keluarga dipamir dan dijual. Rasanya sangat manis dan lemak apabila dibuat kuih, dan rupanya saling tak tumpah seperti madu lebah bila dibotolkan sebagai sirap. Warna sirap berbeza mengikut kepekatannya.
Pelbagai jenis kuih dan manisan dijual semasa festival berlangsung



Pancake
Kemudian kami dibawa semula ke tapak festival dan terus beratur untuk merasa pancake yang dimakan dengan sirap maple. Sebaik sahaja tiba di pondok tiket, tiba-tiba beberapa pekerja sebuah stesen TV mengampiri dan menghalakan kamera mereka ke arah pondok. Seorang wanita Mennonite dari Manitoba yang sedang beratur di hadapan kami terus diumumkan sebagai pelawat ke 5000 untuk hari itu, dan terpaksa sarong T-shirt festival dan makan pancake di hadapan kamera televisyen. Alhamdulillah bukan kami, malu juga kalau kena.



Pengunjung festival sedang beratur untuk merasa pancake bersama sirap maple.

Saat yang ditunggu-tunggu, makan pancake dengan sirap maple.


Di tapak festival juga ditunjukkan satu cara masakan sirap maple secara tradisional. Semasa sap dipanaskan didalam periuk, sebekas ais serbuk disediakan di sebelahnya.
Sirap panas sedia untuk dicedok



Sirap membeku jadi kuih
Semasa hendak memakannya, tukang masak akan mencedok sedikit sirap panas tersebut dan terus meletakkanya di atas ais serbuk tersebut. Sirap tadi terus membeku dan dimakan bersama ais.


Selepas itu kami berjalan-jalan di sepanjang tapak festival,
dan Rayyan berpeluang menaiki pony. Ketika kami beredar pulang tengahari itu, dapat dilihat semakin ramai pengunjung sedang dibawa traktor masuk ke tapak pesta. Selepas tu, setiap hari Rayyan akan lukis gambar kuda.

Tahun 2001, kami pergi lagi ke tapak festival. Tetapi hari itu hujan turun dengan lebatnya dan cuaca sangat sejuk sekali. Pengunjung juga tidak seramai tahun lepas. Semasa Rayyan menunggang kuda padi pilihannya, Aisyah merenung aje dari jauh. Kami dah ajak tapi mulanya dia takut. Tiba-tiba aje terdengar perlahan aje suaranya, nak naik kuda....



Rayyan dan kudanya

Giliran Aisyah pula

Gadis-gadis Mennonite

Warna-warna Maple


[Depan] [Anak2] [Album] [Niagara] [Buah-buahan] [Kembara] [Keluarga] [Warna] [Peta]