Zaman Cinta…Zaman Maut

Pengarang: Ahmad Manur

Tajuk Asal: Zaman al-Hob…Zaman al-Mawt

Diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh: Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University, Jordan.

DARI satu kaki lima ke satu kaki lima lain. Dari satu kedai ke satu kedai. Dia terus keluar masuk mencari kasut yang sesuai. Baginya kedai kasut menjual kasut di bandar kasut di bandar itu terlalu sedikit. Boleh dibilang dengan jari sahaja. Dia menyeberang Jalan Mahadi. Sekali-sekala terdengar hon-hon galak menyalak ke arahnya. Dia tidak peduli. Telinganya dipekak-badakkan. Bilamana terdengar pekikan hon kereta, dia berlari-lari anak supaya cepat sampai ke seberang sana. Dari Jalan Mahadi dia menyusur kedai demi kedai. Akhirnya dia berpindah pula ke Jalan Dardosh.

"Barangkali di sana ada pilihan lain. Mana tahu. Tuhan sahaja yang tahu,” katanya di dalam hati.

Tiada juga kasut yang menambat hatinya. Ketika dia berjalan pulang ke Jalan Mahadi, dia terpandang sebuah kedai kasut. Adalah kira-kira 30 meter sahaja di depannya.

"Biarlah aku masuk sekali lagi ke dalam kedai ini. Tidak mengapalah sebelum aku balik.”

Dia memandang kasut-kasut yang ternaring di atas rak. Tiba-tiba pandangannya jatuh ke atas sepasang kasut. Bertumit sederhana. Putih pula warnanya. Dia mencapai kasut itu dan dibelek-beleknya. Direnung jahitannya. Dan yang paling penting, jenamanya. Ukiran bunga Lotus yang terletak di tengah kasut itu menambahkan lagi seri kasut itu. Bagai tanduk bersendikan gading pula lagaknya.

"Mengapa aku tidak melihatnya tadi? Barangkali kasut ini baru diletakkan di sini. Barangkali baru tiba dari kilang. Dan barangkali juga kasut ini baru turun dari kapal. Barangkali. Barangkali. Harganya belakang kira. Walaupun mencecah seribu dinar, aku rasa aku masih mampu.”

Dia memanggil jurujual yang sibuk menyusun kasut-kasut yang dibelek oleh orang ramai. Dia meminta saiz 39. Saiz kakinyalah. Jurujual itu menghilang sejenak lalu muncul semula dengan sepasang kasut. Diletakkan kasut itu di atas lantai. Ditolong-pakaikan ke kakinya. Senyumannya tergantung di celah dua bibirnya.

"Kasut ini memang khas untuk awak,” kata jurujual itu berbasa-basi.

Dia mengatur langkah ke depan lalu diundur pula ke belakang. Kepalanya dipulas ke belakang untuk melihat tumit kasut itu. Kasut itu didekatkan pada cermin yang tersadai di tepi dinding. Setelah berpuas-hati dihulurkan kasut itu kepada jurujual tadi yang asyik memerhatikannya. Sambil berjalan ke kaunter, dia masih sempat mencuri-curi pandangan ke arah kasut yang bergelimpangan di atas rak. Mana tahu ada kasut lain yang lebih segak. Setelah dia benar-benar yakin tidak ada kasut lain yang lebih cantik daripada itu, dia mara ke arah kaunter untuk membayar harganya. Dia memegang beg kasut itu erat-erat supaya tidak tercicir.

"Tahniah,” kata jurujual itu sambil mengukir sebuah senyuman. Dia merasakan senyuman itu sama indahnya dengan bunga Lotus yang terpahat di atas kasut yang dibelinya.

Dia keluar dari kedai itu sambil mengelek beg plastik yang berisi kasut itulah. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke arah stesen bas untuk pulang. Sambil berjalan dia meraba-raba beg tangannya. Terlintas di benaknya bagai ada orang ingin mencuri duitnya. Berbagai-bagai firasat berlumba-lumba muncul di fikirannya. Duit gaji yang baru sejam diterimanya akan terbang dalam masa sekelip mata sahaja. Bagaimana dia akan hidup sebulan lagi. Bagaimana keadaannya dan ibu dan keluarganya yang agak besar jugalah. Ayahnya sudah lama pergi menemui tuhannya ketika kampung mereka diserang oleh para pengganas.

Ketika fikirannya bersimpang-siur itulah dia terpandang seorang pemuda yang dari tadi mengikutinya. Hatinya tenang bilamana dia tahu pemuda itu adalah jirannya. Dari keluarga baik-baik pula. Pemuda itu masih lagi menuntut di universiti. Buku-buku di tangan pemuda itu memberitahunya. Dalam bidang apa tidak pula diketahuinya. Ketakutang yang bersarang di dalam hatinya bertukar menjadi bunga kebanggan. Pemuda itu memandang ke arahnya.

"Mana mungkin pemuda mulia begitu boleh memandang kepada anak perempuan jirannya? Di jalanan pula. Kalau niatnya ikhlas, dia mestilah masuk melalui pintu,” ke situ pula fikirannya merantau.

Dia menuju ke perhentian teksi yang letaknya bertentangan dengan stesen bas. Dia melihat pemuda jirannya tadi sedang beratur bersama-sama ratusan penumpang yang lain. Dari seberang jalan dia melihat bas kampungnya tiba di perhentian bas. Dia teragak-agak untuk mengambil teksi. Bilamana bas sampai betul-betul di platformnya, cepat-cepat dia melintas lalu celapak masuk ke dalam perut bas itu.

Ketika dia berada di dalam bas yang sendat itu, dia memilih untuk berdiri di tepi tingkap lalu berdiri membiarkan angin bermain-main dengan hujung kain yang menutup rambutnya. Anak jiran turut berasak-asak mencari tempat. Mata mereka bertembung. Matanya memanah tepat ke dalam anak mata pemuda itu. Maka terukirlah sebuah senyuman yang tidak disengajakan. Dia tidak sedar, daikah pada waktu itu?

Bas mulai bergerak. Badannya tersengguk-senguk melepaskan gear satu. Terasa begitu malas sekali bergerak dengan muatan yang begitu sendat. Begitulah selalu pun. Ada perempuan pulang ke rumah membimbit raga yang penuh dengan segala makneka. Orang-orang yang kerjanya menjual ulam di pasar pula menjinjing ulam yang tidak terjual. Orang-orang lelaki mengupa tidak henti-henti. Pelajar-pelajar sekolah lelaki perempuan bersembang tidak tentu pasal. Tidak ketahuan biji. Pemuda-pemuda memeluk sijil mencari kerja. Pekerja-pekerja yang sedang berperang dengan nasib mereka kerana kilang bankrap. Wajah-wajah kemasai. Muka-muka yang pucat keletihan. Hati-hati yang sedang dilanda masalah.

Dia melemparkan pandangan keluar tingkap lalu tenggelam di dalam angan-angan. Fikirannya merayap ke arah pemuda yang tersenyum tadi. Dia lupa dirinya seketika. Lupa bahawa dia hanyalah seorang kerani di sebuah pejabat yang tidak dikenali orang. Lupa bahawa dia memikul beban keluarganya yang terdiri daripada seorang ibu tua serta lapan orang adik-beradik. Lupa bahawa dia tidak mempunyai perhiasan dunia untuk menarik lelaki itu supaya memilihnya. Dia menyerah kalah kepada khayalannya.

Bas semakin laju bergerak. Sekali-sekala daun-daun yang berjuntai di kiri dan kanan jalan menampar badan bas yang sedang bergerak. Asap di belakangnya berpintal-pintal seperti ekor lembu yang sedang menghalau lalat. Suaranya pecah terutamanya ketika pemandu bas itu menekan ‘clutch’ untuk menukar gear. Wah! Apa lagi. Bertempik sakanlah ia. Dia semakin lemas di dalam lamunannya. Tidak sedar bas mula memasuki Jalan Gharmul.

Dia memakai gaun putih. Berjalan sambil memegang tangan anak jirannya itu. Ketika dia menjijakkan kaki memasuki dewan perkahwinan, renda yang menjadi ekor gaunnya masih berada di dalam kereta. Muzik bersipongang memenuhi ruang. Sekejap lagu Amar Dhiyab dan sekejap lagu Najwa Karam. Perempuan-perempuan tua tidak henti-henti menjelirkan lidah mengeluarkan semacam jenis bunyi. Mulut mereka dimuncungkan sambil tangan kanan mereka diletakkan di atas mulut yang dimuncungkan. Dia mendengar tembakan ke udara. Gema tembakan itu amat kuat. Gema yang boleh memekakkan telinga. Gema… Gema… Letupan dan kemudian senyap sunyi.

Ketika dia membuka matanya di hospital, dia melihat ibu dan adik-adiknya sedang tawaf di sekelilingnya. Mereka tidak bersuara bagaikan berada di tanah perkuburan. Mata mereka berair. Wajah mereka sedih tidak terkira. Dia melihat mereka dengan seribu persoalan. Namun, masih tiada jawapan. Pandangannya diubah ke satu sudut yang lain. Dia melihat orang ramai juga. Keluarga-keluarga lain. Semua mereka bersedih dan berdukacita.

"Di manakah saya? Di manakah kita?” dia bertanya kepada emaknya.

"Kau di hospital, anakku,” jawab ibunya perlahan.

"Kenapa saya berada di hospital? Apa yang sudah berlaku?”

Emaknya menjawab dengan nada yang yang sedikit pun tidak berubah: “Bertenanglah! Bukan kau seorang sahaja yang menjadi mangsa di dalam letupan itu. Ada yang kehilangan nyawa di dalam kejadian itu. Kebanyakan mereka ialah orang kampung kita.”

Dia cuba mengingati sesuatu: “Saya ingat sekarang. Gaun putih. Muzik. Sorakan. Gema. Ya. Kemudian letupa. Saya tidak ingat apa-apa lagi selepas itu. Tidak… Saya ingat. Ada kasut bersama-sama saya yang baru sahaja saya beli di bandar. Sepasang kasut putih. Ada bunga lotus di tengahnya. Apa kata ibu? Letupan? Ada orang mati? Dari kampung kita?” Dia mula mengingati pemuda itu. Anak jirannya muncul di ruang ingatannya. Dia menjerit: “Tidak! Tidak! Tidak mungkin dia yang mati. Saya tidak dapat membayangkannya.”

Emaknya cuba menenangkan perasaannya: “Bertenang, anakku. Tidak ada seorang pun dari keluarga kita yang mati.

"Tapi hati saya berkata dia telah mati.”

"Siapa dia?”

Rasa malu mula menyelinap di dalam dirinya. Dia cuba melarikan perasaan malu lalu mengubah tajuk lain. Dia kembali bertanya tentang kasutnya.

"Adakah emak jumpa kasut yang baru saya beli? Jumpakah?”

Emaknya menangis. Adik-adiknya juga turut menangis sama. Tangisan mereka semakin lama semakin meninggi.

"Kenapa emak menangis? Kenapa adik-adik menangis? Biarlah kasut itu hilang. Saya boleh beli yang lain selepas keluar dari hospital ini.”

Pujukan itu tidak berjaya memadam kesedihan yang semakin marak. Emaknya semakin kuat menangis. Kata-katanya tidak dapat mengkemaraukan air mata emak dan adik-adiknya. Ratapan mereka semakin menjadi-jadi.

"Semuanya kerana sepasang kasut?” Dia hairan. Sangat hairan. Amat hairan.

"Tidak anakku. Aku bukan menangis kerana sepasang kasut. Tetapi kerana kau sudah tidak perlukan kasut lagi.”

Dia mula merasai sesuatu kelainan. Tangannya dipanjangkan. Dia meraba pahanya. Kemudian, dia menjerit. Jeritannya menampan dinding-dinding hospital.