Asas-asas Yang Berbeza Di Kalangan Firqah-firqah Islam
Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University, Jordan
SESETENGAH firqah Islam menjadikan beberapa asas sebagai rukun Iman yang khas bagi mereka sama ada kerana ada dalil mereka yang tersendiri ataupun kerana tidak bertepatan dengan asal yang lain.
Contohnya beriman dengan Malaikat, Kitab-kitab suci dan rasul-rasul merupaka asas keimanan kepada firqah Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah yang mungkin boleh diletakkan di dalam kepercayaan terhadap Rasulullah S.A.W. Hal ini demikian kerana kepercayaan kepada malaikat, kitab-kitab suci dan rasul-rasul dibawa oleh Rasulullah dan diberitahu olehnya. Keimanan kepada ketiga-tiga perkara ini merupakan syarat iman bagi setiap firqah Islam. Sesiapa yang mengengkarinya dianggap telah menolak kepada perkara yang perlu diketahui secara mudah. Sesiapa yang menolaknya dianggap kufur secara ijmak oleh ulama Islam kerana keengkaran ini bererti menolak kenabian Nabi Muhammad S.A.W serta al-Quran yang diturunkan kepada baginda.
Iman dengan al-Qadr yang baik dan buruk pula merupakan asas keimanan Ahl al-Sunnah melawan serangan golongan al-Jahmiah yang berpendapat dengan Paksaan Mutlak dan juga golongan al-Muktazilah yang berpendapat dengan Kebebasan Mutlak serta al-Syiah yang berpegang di antara kedua-dua pendapat ini.
Keadilan Ilahi yang merupakan asas yang khusus bagi firqah Syiah dan al-Muktazilah boleh dikategorikan di bawah asas yang pertama iaiatu al-Tauhid. Seseorang Mukmin wajib mempercayai kewujudan Allah Taala serta bersifat dengan segala sifat yang sempurna. Di antara sifat-sifat ini ialah Adil. Selain daripada itu, dia juga perlu mempercayai bahawa Allah Taala bebas daripada segala sifat kekurangan. Di antara sifat kekurangan ialah Zalim.
Janji mengurniakan pahala dan pembalasan dosa yang merupakan asas yang khas bagi firqah al-Muktazilah mungkin boleh diletakkan di dalam bab Keadilan yang merupakan salah satu daripada sifat-sifat Allah Taala. Hal ini demikian kerana apabila Allah Taala berjanji akan memberi pahala kepada orang-orang yang taat dan mengancam orang-orang yang melakukan dosa dengan azab, maka Dia mesti melaksanakan dengan apa yang dijanjikan. Keadilan bermaksud tidak memungkiri janji dan tidak berbohong.
Sementara Menyuruh Kepada Kebaikan dan Melarang Keungkaran yang merupakan asas agama bagi firqah al-Muktazilah ialah salah satu daripada perkara-perkara yang perlu diketahui secara mudah olah semua orang Islam. Menerima perkara ini merupakan syarat untuk memikul gelaran Iman dan Islam di dalam semua firqah Islam. Hal ini demikian kerana kewajiban menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran disebutkan di dalam al-Quran, al-Sunnah dan Ijmak. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: Kamu ialah sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada manusia. Kamu menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran (Ali Imran: 110).
Tempat Di Antara Dua Kedudukan yang merupakan asal mazhab bagi firqah al-Muktazilah bermaksud: Orang yang melakukan dosa besar tidak dikategorikan sebagai kafir mutlak dan bukan juga iman mutlak. Asas ini menjawab pendapat firqah al-Khawarij yang mengatakan orang yang melakukan dosa besar adalah kafir dan pendapat firqah al-Murjiah yang mengatakan mereka digolongkan di dalam orang yang beriman secara mutlak.
Selain itu, al-Imamah merupakan usul mazhab bagi firqah al-Syiah al-Imamiah dan bukannya rukun Iman. Justeru, sesiapa yang menolaknya tidak digolongkan sebagai pengikut Syiah. Namun, dia tetap beriman dan jelas keislamannya.