Usul Agama Yang Disepakati Oleh Orang-orang Islam.

Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University, Jordan.

ULAMA-ULAMA Islam tanpa melihat kepada firqah mereka sepakat mengatakan bahawa seseorang yang beriman mesti mempercayai tiga perkara asas:

  1. Percaya – secara amnya – dengan kewujudan Allah Taala. Dia juga mesti percaya bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat yang sempurna. Justeru, dia mesti pulalah menolak sifat-sifat kekurangan dan menyucikan Allah Taala daripada segala sifat kekurangan. Tetapi tidak diwajibkan ke atasnya mempercayai sifat-sifat ini satu persatu secara terperinci.
  2. Percaya dengan kenabian Nabi Muhammad S.A.W. Dan mesti juga dia percaya baginda seorang yang benar dengan apa yang disampaikannya secara am juga.
  3. Percaya dengan Hari Kebangkitan, Perkiraan dan Perhitungan Allah Taala, pahala dan juga seksaan Allah terhadap makhluk-Nya.
  4. Dan disyaratkan di dalam kepercayaan ini: Tidak engkar kepada perkara-perkara asas yang perlu diketahui secara mudah seperti percaya kepada malaikat, kitab-kitab suci yang diturunkan, rasul-rasul terdahulu, solat, puasa, zakat, haji dan perkara-perkara lain lagilah yang diterangkan secara kata putus oleh al-Quran dan al-Sunnah. Perkara-perkara ini tidak boleh diengkari oleh orang-orang yang ingin dikatakan beriman. Begitu juga dengan orang-orang yang ingin mendakwa sebagai Islam. Ini bukanlah rukun Iman, tetapi hanyalah merupakan syarat kerana perkara-perkara ini datang daripada sumber-sumber yang tegar. Hal ini demikian kerana sekiranya seseorang itu menafikan perkara-perkara ini, bermakna dia telah mengengkari kebenaran Nabi Muhammad S.A.W dan keabsahan syariat yang dibawanya.

    Kesimpulannya, seseorang itu dikatakan beriman dan sekiranya dia percaya kepada tiga asas ini secara am dan percaya pula kepada apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Di samping itu, dia mestilah pula tidak engkar kepada perkara-perkara yang perlu diketahui oleh orang-orang yang beriman seperti solat, puasa, zakat dan haji. Seseorang itu boleh dianggap kafir dan terkeluar daripada agama Islam sekiranya tidak percaya kepada ketiga-tiga perkara ini ataupun engkar kepada syarat-syarat iman iaitu percaya kepada perkara-perkara asas yang perlu diketahui oleh orang Islam. Keengkaran ini boleh dilihat daripada tiga aspek:

    1. Menolak sesuatu yang diketahui secara mudah di dalam agama.
    2. Menolak apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.
    3. Menganggap apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad tidak mempunyai hikmah dan kepentingan di dalam kehidupan manusia.