Solat
Tulisan: Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University, Jordan.
MENURUT Kassim Ahmad, solat sehari semalam lima waktu ialah warisan daripada zaman Jahiliyyah. Pandangan ini diambil daripada Rashad Kalifa yang menyebut: The whole Arabian society before and during the time of Muhammed followed the religion of Abraham. Thus Abu Lahab, Abu Jahl and the idolators of Quraish used to observe the five daily salat prayers exactly as we (?) do today (diambil daripada Mustaffa Suhaimi, 1996).
Jadi untuk mendapat kepastian soal ini mari kita bincangkan dakwaan Rashad Khalifa tersebut. Adakah orang-orang Arab Jahiliyyah juga solat seperti yang orang-orang Islam masa kini lakukan?
Solat atau al-Solat sememangnya bukanlah perkataan Islam. Ini bereti perkataan ini digunakan semenjak zaman Jahiliyyah lagi. Dikatakan juga perkataan ini berasal daripada Bahasa Babil dan Asyur. Kebanyakan bahasa yang tergolong di dalam keluarga Semitik menggunakan perkataan ini yang bererti doa. Makna solat pada zaman Jahiliyyah ialah doa ataupun meminta keampunan.
Kata al-A'sya (7H/629M) ketika memperkatakan tentang arak:
Dan angin pun menerpa masuk ke dalam tongnya (wa qabiluha al-rihu fi daniha),
Lalu dia berdoa dan meminta pertolongan agar araknya tidak rosak (wa salla ala daniha wartasamu).
Di dalam Bahasa Arab, perkataan ini mengandungi berbagai-bagai makna. Antaranya al-Luzum yang bermaksud kekal dan tidak keluar-keluar. Dikatakan "Fulan Salla fi al-bait" bermaksud si polan itu tidak keluar-keluar daripada rumahnya. Kedua diArabkan daripada perkataan Hebrew - salawta yang bermaksud tempat solat. Di dalam al-Quran disebutkan: Orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar kecuali kerana mereka berkata: Pemelihera kami ialah Allah. Dan sekiranya Allah tidak menolak sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain, tentulah dirobohkan biara-biara, gereja-gereja, salawat (rumah ibadat Yahudi) dan masjid yang menjadi tempat menyebut nama Allah (al-Haj: 40). Di dalam bahasa Arab, harus meletakkan kata nama tempat ke atas kata nama hal. Jadi kata nama tempat (solat-doa) diletakkan di atas kata nama hal yang bermaksud berdoa.
Dengan kehadiran Rasulullah, baginda membawa makna baru terhadap solat. Perubahan ini memang biasa berlaku di dalam apa bahasa sekalipun. Sesuatu makna pada sesuatu perkataan akan merubah mengikut zaman. Contohnya perkataan al-Qitar yang bermaksud keretapi pada hari ini bermaksud gerombolan unta yang bersambung talinya di antara satu sama lain. Apabila datang kenderaan yang bersambung gerabaknya, lalu orang-orang Arab memanggilnya sebagai al-Qitar.
Di dalam surah al-Taubah, Allah Taala berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya solat kamu merupakan penenang jiwa bagi mereka (al-Taubah: 103). Dan firman Allah Taala lagi yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan Malaikatnya bersolat ke atas Nabi. Alahai orang-orang beriman! Solatkanlah ke atasnya dan ucapkanlah juga salam kepadanya (al-Ahzab: 22). Manakala firman Allah Taala di dalam surah al-Anfal pula, Allah menceritakan tentang hal ehwal solat orang-orang Jahiliyyah dengan firmannya yang bermaksud: Solat mereka di sekitar Baitullah hanyalah siulan dan tepuk tangan (al-Anfal: 35).
Al-Quran tidak menyebutkan secara jelas bilangan solat dan juga bilangannya. Waktu-waktunya disebutkan secara umum sahaja. Di antara ayat-ayat al-Quran yang menyebut waktu-waktu solat ialah:
Cara-cara menunaikan pula disebut oleh Allah sebagai:
Manakala sunnah pula menerangkan cara-cara terperinci cara melakukan solat. Rasulullah mendirikan solat sehari semalam lima waktu dan diikuti oleh orang-orang Islam. Sabdanya pula kepada mereka: Solatlah bagaimana aku solat.
Allah Taala juga mementingkan solat Jumaat. Firmannya yang bermaksud: Alahai orang-orang beriman! Apabila diseru untuk bersolat pada hari Jumaat, maka bersegeralah engkau mengingati Allah dan tinggalkanlah jual-beli (al-Jumuah: 9).Sunnah jugalah menunjukkan cara mengerjakan solat Jumaat. Sunnah jugalah yang menerangkan cara khutbahnya. Di samping itu Allah Taala juga menerangkan cara-cara menunaikan solat ketika berada di dalam ketakutan. Firman Allah Taala yang bermaksud: Sekiranya kamu musafir, tidak apalah sekiranya kamu hendak memendekkan solat. Juga sekiranya kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Mereka itu musuh kamu yang nyata. Sekiranya kamu berada bersama-sama mereka, maka hendaklah kamu sama-sama mendirikan solat. Satu kumpulan daripada kamu hendaklah bangun sambil menyandang senajata. Dan bilamana mereka sujud, hendaklah mereka itu berada di belakang pula lalu datang pula kumpulan lain yang tidak bersolat sambil bersiap-sedia memikul senjata-senjata mereka juga (al-Nisa: 101-102). Demikianlah Allah memerintahkan agar kita mendirikan solat. Manakala perlakuan solat ini diterangkan oleh Rasulullah.
Daripada ayat 35 surah al-Anfal, kita dapati bahawa orang-orang Jahiliyyah bukanlah mengerjakan solat seperti yang dilakukan oleh orang-orang Islam pada hari ini. Solat mereka hanyalah bertepuk-sorai gembira. Justeru, tuduhan yang dilemparkan tidak berdasarkan kepada bukti al-Quran sendiri. Dikatakan bahawa kaum Quraisy mengelilingi Kaabah secara berbogel sambil bertepuk tangan. Untuk menidakkan perbuatan ini, Allah Taala berfirman yang bermaksud: Alahai anak Adam! Ambillah perhiasan kamu ketika mengunjungi masjid (al-A'raf: 31).
Father Jorjouis Daud Daud di dalam bukunya "Agama-agama Arab Sebelum Islam" menyebutkan bahawa ibadat haji dilakukan oleh Nabi Ibrahim dengan mengelilingi kaabah sebayak tujuh kali. Selepas daripada tawaf tersebut, dikatakan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail melakukan solat dua rakaat di belakang al-Maqam. Kemudian Jibril mengajar pula berlari-lari di antara Safa dan Marwah serta amalan-amalan lain di Mina, Muzdalifah dan Arafah. Tidak pula disebutkan adanya solat sehari semalam lima waktu seperti dakwaan Rashad. Alangkah bagusnya sekiranya kita dapat melihat rujukan Rashad Khalifa tentang dakwaan ini.
Justeru, dengan menolak sunnah, mustahillah perlakuan solat dapat dilakukan. Tidak tahulah sekiranya mereka hanya melakukan solat dengan rukuk dan sujud sahaja. Dan solat mereka tidak henti-henti dari gelincir matahari sehingga pada permulaan malam dan satu solat lagi pada waktu fajar. Elok juga rasanya kalau kita dapat meneliti buku panduan solat yang dilakukan oleh golongan anti-hadis ini.