PERKEMBANGAN FIRQAH-FIRQAH ISLAM
Dipetik dan Diterjemahkan daripada Dirasat di al-Firaq wa al-Aqaid al-Islamiyah, Irfan Abdul Hamid Fattah oleh Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University.
PARA penulis buku tentang firqah-firqah Islam cuba menghubungkan kemunculan mazhab-mazhab Islam dengan faktor-faktor asing yang diambil oleh tentera-tentera pembebasan Islam daripada agama, kebudayaan dan kepercayaan kuno di negeri-negeri yang baru dibuka. Tujuan mereka ialah untuk menuduh firqah-firqah ini sebagai bida’h dan mazhab-mazhab baru yang tidak pernah wujud pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Mereka suka menuduh firqah-firqah ini merupakan peninggalan agama-agama kuno yang sesat lalu mereka mengatakan bahawa pengikut-pengikutnya sebagai kufur, zindiq dan sesat.
Pada zaman moden ini, kajian tentang firqah-firqah Islam dilakukan pula oleh para orientalis. Kajian mereka berakhir – walaupun mereka kita dapati sangat tekun dan mendalam di dalam kajian mereka – dengan kesimpulan bahawa mazhab-mazhab ini muncul di dalam Islam dengan pengaruh asing. Namun begitu mereka tidak sependapat menentukan pengaruh-pengaruh asing ini.
Mereka telah membuat teori-teori yang menyimpang jauh daripada kebenaran ketika menentukan arah pengambilan unsur-unsur asing ini. Antaranya mereka mengatakan bahawa akal bangsa Arab hanya mengambil sesuatu secara membuta-tuli begitu sahaja. Mereka juga sering menolak pembaharuan, memandang kepada perkara-perkara remeh, cenderung kepada pengulangan dan kemudian gagal mewujudkan mazhab-mazhab falsafah dan melakukan melakukan pembaharuan pemikiran
.Di dalam kajian mereka pula, mereka hanya mengikut metodologi luaran yang berpegang kepada penyerupaan dan penglihatan di dalam lingkungan kebudayaan yang berlainan. Dan mereka hanya menghubungkan yang lama dengan yang baru lalu membuat kesimpulan bahawa yang baru mengambil daripada yang lama. Mereka juga mengatakan bahawa setiap pemikiran Islam merupakan kesan dan keputusan daripada pemikiran asing
.Metodologi ini memberi kesan yang sangat berbahaya kerana setiap kebudayaan dan pemikiran hanya dilihat sebagai suatu keadaan yang beku yang dikuasai oleh kebudayaan lama. Pengajian moden bagi kebudayaan-kebudayaan antarabangsa pula mengatakan bahawa kemunculan pemikiran tertentu di dalam kebudayaan sesebuah umat lalu muncul pula pemikiran yang sama di dalam kebudayaan yang lain tidak cukup untuk mengatakan bahawa yang kedua terpengaruh dengan yang pertama kecualilah ada bukti-bukti material yang menunjukkan bahawa kedua-duanya pernah mempunyai hubungan sejarah. Perkara ini tidak membenarkan metodologi-metodologi luaran melakukan sesuatu kesimpulan kecuali selepas benar-benar yakin dengannya.
Di dalam percubaan untuk mengatasi metodologi-metodologi yang cuba menghodohkan wajah Islam dan bertitik-tolak daripada pandangan ilmiah, kita mesti cuba mendirikan syarat-syarat yang terarah di dalam suasananya yang tersendiri. Memang salah kalau kita hanya menghubungkan sesuatu dengan faktor-faktor asing lalu melupakan terus faktor-faktor dalaman. Tidak ada satu pemikiran pun yang boleh menguasai orang lain kecuali sekiranya terdapat perhubungan sejarah di antara kedua-duanya. Apabila faktor-faktor asing datang, ia hanya mengejutkannya daripada tidur dan bukan menciptanya
.SEKIRANYA dilihat dari sudut sosial, dakwah Islam merupakan perpindahan yang menggejutkan yang lebih dekat dengan lompatan sejarah daripada perkembangan semula-jadi dan akal bagi sesuatu peristiwa. Islam telah merubah kehidupan Arab daripada kehidupan yang mudah, tertutup dan nomad kepada kehidupan moden dari segi binaan struktur sosial, politik dan agama. Daripada kehidupan berpuak-puak yang menitik-beratkan perhubungan darah dan keturunan kepada kehidupan yang berasaskan kepada akidah yang tidak membezakan warna dan keturunan. Daripada ekonomi yang hanya mengenal pengembalaan dan padang ragut kepada sistem ekonomi yang tersusun dan berbagai-bagai sumber pula seperti zakat, cukai dan sedekah. Daripada politik yang dipegang oleh ketua kabilah kepada masyarakat madani yang dipenuhi dengan ketua, tentera dan gabenor serta undang-undang syariah yang dilaksanakan secara tersusun dan dapat menyelesaikan masalah umat. Daripada agama menyembah patung-patung yang dibuat oleh tangan-tangan mereka yang gagal memenuhi hajat dan keperluan manusia sama ada dari segi akal dan rohani kepada akidah yang sempurna.
Ulama sosiologi mengatakan bahawa perpindahan kebudayaan secara menggejut ini (Social Mutation and Change) menyebabkan berlakunya kebimbangan yang melingkari kehidupan mereka dan ada kalanya menyebabkan kecelaruan politik, pertembungan dalaman, fitnah, peperangan dan kekacauan. Sejarah telah membuktikan bahawa tiga orang Khalifah al-Rashidin telah dibunuh sama ada kerana membalas dendam, khianat ataupun memberontak. Perang-perang saudara meletus tanpa diduga seperti fitnah selepas pembunuhan Saidina Othman, peperangan Saffain, al-Jamal, al-Nahrawan dan Karbala.
Orang-orang Islam pada ketika itu melihat bahawa mereka hanya mampu melepasi segala kekacauan ini dengan kemunculan seorang hero yang tidak melakukan dosa. Dia mestilah seorang memiliki sifat-sifat yang tiada pada orang lain dan seseorang biasa tidak akan mampu memilikinya walaupun dia berusaha sedaya-upaya. Hero ini memang terkenal di dalam sistem politik dan sosial yang digelar sebagai Karisma (Charisma). Teori inilah yang menyebabkan sebahagian umat Islam menubuhkan firqah Syiah yang serasi dengan kepercayaan Karisma ini. Di antara ciri-ciri Karisma ini ialah:
Ciri-ciri ini merupakan sejumlah teori imamah menurut pandangan Syiah yang membentuk gambaran ‘Nas dan Penentuan – Divine and Designation’ dan kepercayaan bahawa imam-imam bebas daripada dosa - (Infallible). Dari sinilah juga Syiah dari segenap firqah bersepakat mengatakan imamah bukanlah daripada maslahah umum yang boleh dipilih melalui syura (The Universal Consent of The Community). Tetapi imamah merupakan rukun iman yang mesti dipercayai dan juga fardhu yang mesti ditunaikan seperti solat, puasa, zakat dan haji. Kemudian, imamah berlaku dengan nas dan penentuan yang tidak boleh dicampur-tangan oleh pandangan, ijtihad dan akal yang terhad. Imam-imam ini mestilah juga bebas daripada melakukan sebarang dosa sama ada kecil ataupun besar, lupa atau sengaja dengan alasan dialah yang merupakan gudang ilmu Allah Taala yang diwarisi. Setiap hukum yang dikeluarkannya pula merupakan hukum yang benar dan yakin.
Imam pula mestilah diwariskan kepada anak sulong kecuali di dalam keadaan yang tertentu. Keadaan-keadaan inilah yang akhirnya memporak-perandakan golongan Syiah kemudiannya.
BERBEZA dengan perkembangan sejarah yang membentuk parti Syiah dengan madrasahnya yang berbeza-beza, sebahagian daripada umat Islam mentafsirkan bahawa keadaan umat Islam yang teruk adalah disebabkan oleh situasi murtad dan penyelewengan daripada prinsip Islam. Dan kemudian, mereka melihat bahawa tiada jalan lain untuk membetulkan keadaan ini kecuali dengan kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang sebenar. Kumpulan ini membentuk pula satu parti yang dinamakan sebagai "parti al-Khawarij". Semua firqah al-Khawarij berpendapat dengan "kewajipan bertahkim" - (Tahkim al-Quran) di dalam setiap kejadian, individu dan keadaan. Mereka berpendapat dengan "gugur Imamah" (tiada kerajaan) atau harus mendirikannya dengan syarat imam yang dilantik mestilah orang yang paling baik, paling bertakwa dan paling dekat dengan kebenaran sekalipun dia seorang hamba Habsyi atauNabati yang kepalanya seperti bkismis. Dan mereka juga mewajibkan keluar daripada mengikut Imam yang autokrasi sekalipun dia melakukan kebenaran dan keadilan kerana (tiada ketaatan kepada sesiapa yang menukarkan hukum yang diturunkan oleh Allah dan menggantikannya dengan suatu hukuman yang lain). Prinsip ini muncul daripada persamaan mutlak yang merupakan jauhar Islam dan kebenaran yang hakiki. Mereka berpendapat bahawa sesebuah kumpulan yang bersatu dan berpengang-teguh dengan prinsip tanpa berdolak-dalih ataupun berpura-pura adalah jalan yang akan menyelamatkan mereka daripada kekacauan ini. Prinsip inilah yang membezakan firqah al-Khawarij dengan firqah-firqah lain. Sejarah mereka dipenuhi oleh keikhlasan dan berterus-terang di dalam memberi pendapat, ikhlas di dalam ibadah dan sanggup mati bersama-sama menegakkan kebenaran. Mereka digambarkan oleh buku-buku sejarah sebagai ahli-ahli ibadah, penghias malam, belakang mereka membongkok pada kegelapan malam membaca ayat-ayat al-Quran. Bilamana mereka membaca ayat yang menceritakan tentang syurga, mereka menangis kerinduan. Dan apabila mereka membaca ayat tentang neraka pula, mereka menangis tersedu-sedan seolah-olah api neraka berada di antara dua kelopak telinganya. Bumi telah memamah lutut-lutut dan tangan-tangan dan hidung-hidung dan dahi-dahi mereka kerana terlalu sangat rukuk dan sujud.
Kekalutan ini boleh bertukar menjadi pertembungan yang tidak mengiktiraf kekuasaan pusat. Inilah yang menyebabkan kesudahan firqah al-Khawarij. Mereka terkenal dengan revolusi yang berpanjangan dan yang tidak pernah tenang ke atas apa sahaja kerajaan yang ada. Mereka tidak membezakan di antara Khilafah al-Rashidin, Umawi ataupun Abbasi. Hal ini demikian disebabkan oleh kebekuan aqidah, tertutup, mengkafirkan penentang-penentang mereka dan mewajibkan keluar daripada mentaati kerajaan yang dianggap terkeluar daripada Islam. Inilah ciri yang disepakati oleh semua kumpulan mereka yang berbeza-beza. Kelakuan politik ini dipanggil Ujian: Menguji dan membersihkan seteru-seteru mereka.
SEKIRANYA revolusi al-Khawarij merupakan penolakan terhadap realiti politik dan sosial pada masa itu di dalam gambaran pemberontakan yang mutlak sehingga ke akar-umbi dengan menggunakan senjata dan pertumpahan darah tanpa mengenal kepura-puraan, waspada dan gencatan senjata, firqah al-Qadariah pula menolak dari segi yang lain pula. Penolakan mereka merupakan penolakan terhadap kebarangkalian, penyerahan dan aliran negatif yang cuba mengharuskan apa yang berlaku dengan alasan qadar telah ditentukan dan qadha tidak boleh diubah-ubah dan menegaskan tentang tanggung-jawab manusia dari segi akhlak kerana manusia merupakan (pembuat yang bebas dan boleh memilih), dialah yang memilih perjalanan hidupnya sendiri dan menanggung keputusan perbuatannya atas kehendaknya juga. Maka datanglah pendapat al-Qadar(kehendak): iaitu kehendak individu dan kebebasannya, menolak al-Jabr(paksaan) dan keputusannya yang negatif. Mereka menolak secara keras kekalahan yang tenggelam di dalam penyerahan. Mereka juga menolak secara total realiti yang berlaku dan menegaskan secara dogma tanggungjawab manusia di dalam menentukan kehidupannya. Al-Qadariah terdiri daripada ulama-ulama yang berbeza latarbelakang mereka, tetapi semuanya sepakat mengatakan tiada takdir dan pekerjaan manusia tidak diketahui Allah. Lalu mereka menjadi penentang kepada sesiapa yang cuba mengharuskan realiti yang buruk itu dengan alasan Qadar dan Qadha telahpun ditentukan.
BERBEZA dengan Syiah dan al-Khawarij, sekumpulan orang Islam yang lain pula mengatakan (di bawah tekanan perang saudara yang berpanjangan, sikap melampau di dalam parti-parti politik, meningkatnya keculasan dan penghinaan terhadap masalah-masalah akhlak dan penderitaan umat Islam terhadap kerajaan yang zalim yang mencengkam rakyat yang ikhlas terhadap Islam) lalu mereka mengambil pendirian memilih kerohanian dan membenci dunia. Mereka (menafikan diri sendiri) dan (memencilkan diri daripada manusia) dengan (memutuskan hubungan lalu meninggalkan habuan dan melarikan diri daripada dunia) dan cuba mencari jalan ke arah menyucikan diri daripada sesuatu yang bukan berpunca daripada Allah. Mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah dengan harapan agar dapat menyucikan hati mereka daripada kemabukan, kesenangan dan keinginan terhadap keduniaan. Mereka meneroka jalan zuhud, jauh daripada kenikmatan hidup, beribadat dan berusaha menjadi fakir. Mereka juga menjadikan puasa, berlapar, berjaga malam, menangis, meratapi diri dan menyitai orang lain. Semua ini mereka lakukan semata-mata ingin mencapai ketinggina akhlak yang telah hilang di dalam masyarakat dan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin mereka. Mereka cinta akan akhirat, tumbuhan-tumbuhan di dalamnya, kenikmatan serta kehidupannya yang berkekalan. Mereka mencaci dunia, keindahan dan syahwatnya. Mereka meneroka jalan yang berlebih-lebihan di dalam menggambarkan apa yang ditunggu oleh jiwa yang memberontak dengan azab yang pedih. Dengan perhitungan ilahi yang keterlaluan lagi terperinci. Bolehlah dikatakan dengusan mereka ini merupakan kritikan yang positif yang cuba membaiki akhlak dengan pendidikan dan membetulkan yang bengkok yang telah berlaku di dalam masyarakat. Ini ialah satu bentuk zuhud, penolakan terhadap syahwat yang keji, menyintai dan menyebarkan perasaan kasih sayang dan kecintaan di antara manusia. Mereka berharap dapat membersihkan jiwa melalui ibadah, menapisnya dengan mujahadah dan membersihkannya dengan zuhud untuk menjadi penghubung di antara mereka dengan Allah. Mudah-mudahan terpelihara daripada melakukan dosa dan tidak berakhlak.
Justeru, mereka terlalu menjaga (Kesempurnaan Adab), (Kebersihan Jiwa) dan (Kesempurnaan Akhlak). Syiar yang disepakati oleh mereka ialah (keluar daripada perangai terendah lalu masuk ke dalam akhlak yang tertinggi). Dakwah mereka terkumpul di dalam dua perkataan: Tasawwuf ialah Penyucian dan Penghiasan
DAN apabila kita melewati pemikiran Tasawwuf Islam kepada pemikiran al-Jabariah, seperti mana yang digambarkan oleh al-Jahm bin Safuan, kita akan mendapati bahawa pemikiran ini merupakan saduran daripada roh warak yang merupakan percubaan kesakitan yang terdapat di dalam Tasawwuf dengan apa yang dinamakan sebagai (membuang penguasaan) yang bermaksud: Kehancuran zat kemanusiaan (keakuan) di dalam kekuasaan tuhan yang mutlak (al-Jabarut). Keadaan ini berlaku dengan meninggalkan jiwa untuk dilakukan apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah
. Justeru, kebanyakan para Sufi yang terkemudian menjadikan penyerahan dan pemberian kuasa untuk diperintah dan redha dengan apa yang menimpa hamba itu daripada nikmat dan musibah. Sesungguhnya pendapat dengan penyerahan ini bermula daripada kesakitan yang bukan dengan teorinya sahaja, tetapi telah berakhir dengan pembebasayang berjaya mengeluarkan manusia daripada ketakutan. Percubaan luar biaini merupakan percubaan mengangkat kehendak manusia kepada kehendak Allah Taala. Kesempurnaan manusia dapat dicapai menerusi gambaran dan maknanya yang jauh.Barangkali, dengan penjelasan dan tafsiran bagi al-Jahm bin Safwan dapat disepakati di antara pemikiran al-Jabariah dan kelakuannya yang berunsur revolusi itu dengan kematiannya di medan pertempuran senjata. Dan tafsiran ini juga dapat menolak dakwaan sesetengah pengkaji yang menghubungkan al-Jabariah dengan maslahah kerajaan yang berdiri pada waktu itu. Kerajaan ini cuba mengharuskan politik, kelakuan dan perbuatannya dengan prinsip al-Jabariah
.Penerangan yang ringkas tentang peranan dalaman di dalam perkembangan mazhab-mazhab Islam ini, bukanlah bertujuan menafikan kesan-kesan danfafaktor luaran yang diambil daripada budaya asing. Tetapi kami ingin membuat kajian di dalam sesuatu perkara berdasarkan kepada pandangan yang betul yang melihat kepada sesuatu keadaan sebagai: kelahiran daripada keadaan yang berdiri pada waktu itu. Tetapi kelahiran ini tidak pula menafikan kesan perkembangan sejarah dan juga pengaruh kebudayaan asing yang menyelinap masuk ke dalam Islam. Kami lebih beranggapan bahawa kesan luaran ini datang kemudian dan hanya menberi kesan kepada pembangunan halatuju mazhab-mazhab ini sahaja. Dan bukan menciptanya. Jadi. Mazhab-mazhab ini mengutip sedikit-sebanyak unsur-unsur falsafah daripada pelbagai sumber di dalam perkembangannya. Sesungguhnya pemikiran Arab-Islam di dalam pelbagai bentuknya yang berbeza-beza pada zaman permulaan dan perkembangannya adalah pemikiran yang terbuka terhadap pemikiran lain. Pemikiran ini tidak pernah mengenali perasaan perkauman, kebekuan dan tidak tertumpu pada dirinya sahaja. Inilah karektornya yang sebenar. Hanya orang-orang yang mengetahui dan ikhlas sahaja yang dapat memahami hakikat pemikiran ini dan pemberiannya.