MENAHAN ANGIN

Hasil Karya: Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University, Jordan.

PAK CHA mengesot punggungnya sedikit. Sudah lama dia duduk di atas kerusi di dalam dewan orang ramai itu. Sejak dari pukul dua petang lagi. Pandangannya dihimbau keluar melalui helaian daun tingkap yang sekejap tertutup dan sekejap terbuka ditiup angin.

Non yang asyik menjilat dan menggulung daun rokok memandang ke arah Pak Cha. Kemudian dia melihat pula ke kiri dan ke kanannya. Satu persatu muka-muka ahli ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung ditelitinya. Man Belacak sudah ada. Husin Terong yang selalu lewat pun sudah ada, sedang bersembang dengan Timah Kotai. "Siapa lagi?" tanya Non sendiri-sendiri.

Dewan orang ramai yang separuh batu dan separuh papan itu sudah dipenuhi oleh ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung. Letaknya agak ke dalam sedikit dari jalan raya. Bukanlah jalan raya sangat pun. Cuma tar mini yang ditempek sana sini sekejap dengan tar dan sekejap dengan tanah merah. Sudah lama pun diturap dan berlubang di sana-sini. Apa tidaknya. Segala macam kenderaan menindihnya. Kalau musim padi lagilah teruk bahananya dengan mesin padinya yang berkaki lipan dan trelar yang tayarnya lapan belas. Di sebelah dewan itu letaknya rumah Pak Cha yang menjadi pengerusi kepada jawatan kuasa yang tidak mempunyai kuasa. Kalau tidak ada apa-apa mesyuarat, dewan itu hanyalah tempat persinggahan ayam dan itik dan kambing sahajalah. Memang di depannya ada sebuah pondok telefon. Tetapi sudah rosak dan tidak pernah elok-elok.

"Hamad Tongsan belum datang, Pak Ngah, " ujar Husin Terong yang asyik bersembang dengan Timah Kotai tadi. Memang Hamad belum datanglah.

"Hairan juga aku. Selalunya dia tidak pernah lewat. Kau sahaja yang selalu datang lewat, Husin. Tetapi, hari ini dia pulak yang lewat. Entah-entah penyakit kau itu sudah pindah kepada Hamad," gurau Pak Ngah Cha. "Tidak mengapalah. Kita mulakan sahaja majlis ini," sambung Pak Cha. Dia membelek-belek buku catatan minit mesyuarat yang diserahkan kepadanya oleh Non. Buku catatan itu bukanlah kertas yang bertaip pun. Cuma sekadar buku latihan sekolah anak Non yang dijadikan sebagai buku mesyuarat. Kertasnya bukan lagi bewarna putih, tetapi sudah kuning macam kulit buah remia masak sahaja.

"Tujuan kita mengadakan mesyuarat pada kali ini adalah untuk membincangkan masalah angin yang melanda kampung kita. Sepanjang minggu lalu, ada apa-apa laporan yang kamu semua dapat?" tanya Pak Cha tanpa ada mukaddimah lagi. Itulah selalunya mukaddimah Pak Cha. Terus kepada pokok persoalan tanpa ada ranting dan bunga mesyuarat lagi. Lagipun dalam zaman teknologi dan sains ini, apalah gunanya cakap-cakap kosong begitu.

"Keadaan semakin teruk, Pak Ngah. Angin semakin menjadi-jadi gilanya. Sudah semaikn melampau. Tiga malam berturut-turut rumah saya digoyangnya. Habis bergoyang semua benda di dalam rumah saya. Perkakas di dalam bilik saya pun habis bergoyang sebelum sempat saya menggoyangnya," jelas Man Terong. Non terasa hendak ketawa. Tetapi, ditahannya. Habis berpintal urat-perut. Mana boleh ketawa dalam saat-saat genting begini. Lagipun apa yang dikatakan oleh Man itu betul. Bukan sahaja rumah Man Belacak sahaja yang bergoyang. Seluruh kampung Mahawangsa merasai bedalan angin itu. Bahkan rumahnya lebih hebat lagi kerana dia turut sama menggoyang. Gambar pemimpin negara dan pemimpin negeri yang tersangkut di dinding turut jatuh ke lantai lalu pecah berderai. Gambar timbalan pemimpin negara tidak adalah kerana dia bukan dari kalangan kem timbalan.

Husin Terong ingin bersuara. Tetapi suaranya dipintas bagaikan kilat oleh Timah Kotai. "Saya pun sudah tidak tahan dengan karenah angin ini, Pak Ngah. Semalam hampir-hampir saya dimalukan oleh angin ini. Bukan semalam sahaja. Hampir tiap-tiap hari. Mana tidaknya. Ketika saya berjalan di depan kedai Pak Su Hasyim, tiba-tiba datang angin berputar-putar. Tahulah di depan kedai Pak Su Hasyim. Memang ramailah orang di situ. Kain saya ini diselaknya ke atas. Nasib baik jugalah kerana saya sempat menepisnya dengan buah mengutip berangan masak," kata Timah Kotai tanpa malu dan segan. Memang begitulah selalu pun. Dia selalu berterus-terang di dalam semua perkara. Tidak kiralah perkara itu di dalam kampung atau kadang-kadang merantau juga masuk ke dalam huma dan hutan belantara.

Bunyi motosikal yang datang dari arah luar dewan mencuri pandangan mereka. Bunyi motosikal itu terhenti di tepi pondok telefon. Hamad Tongsan yang baru tiba dengan motosikal itu menongkat motosikalnya lalu berjalan longlai masuk ke dalam dewan.

"Assalamualaikum!" Hamad memberi salam kepada semua ahli mesyuarat.

"Kenapa lewat, Hamad?" tanya Pak Cha sebelum sempat dia duduk lagi. Hamad membiarkan pertanyaan Pak Cha tanpa jawapan. Dia melangkah longlai ke arah kerusi kosong di tepi Man Terong lalu menghempukkan punggungnya di atas kerusi itu. Mukanya pucat lesi. Badannya lembik macam kangkung rebus sahaja.

"Ini gara-gara anginlah juga, Pak Ngah. Semalam saya makan biji cempedak rebus. Tahulah sekarang ini musim cempedak. Habis sampai sekarang perut saya berangin dan asyik keluar angin sahaja. Sudah sepuluh botol minyak angin saya lumurkan tetapi angin itu tidak juga surut-surut," jelas Hamad setelah berada pada posisi yang sesuai.

Memang angin telah memberontak di dalam kampung Mahawangsa. Bermula daripada angin taufan sehinggalah angin yang sekecil-kecilnya yang berputar di dalam salur darah dan urat saraf penduduk kampung Mahawangsa. Angin-angin ini juga telah menyelinap masuk ke dalam jiwa anak-anak muda kampung itu. Angin apa lagi kalau bukan angin asmara. Anak-anak dara sudah tidak segan silu membonceng motosikal pemuda-pemuda pergi mengambil angin di tepi-tepi pantai dan di puncak-puncak gunung. Rambut yang dahulu terselindung di bawah tudung sudah dibiarkan bemain dengan ekor-ekor angin yang memukul muka. Kalau sudah sampai di puncak gunung dan di celah-celah batu di tepi pantai, bersiponganglah pula angin lari menciding ke dalam urat-urat saraf lalu meneguhkannya. Di tengah sawah, angin itu berputar memintal-mintal lalu meranapkan padi mereka yang sudah kekuningan. Habis ranaplah ekonomi kampung Mahawangsa.

"Semua ini gara-gara seorang Yahudi yang telah membeli bukit yang membentengi kampung kita. Dia telah meruntuhkan bukit-bukit itu untuk membina padang-padang golf. Tanah-tanahnya pula diangkut ke pesisiran pantai untuk menambak laut," kata Pak Cha. "Saya rasa kita patut buat undang-undang dan peraturan pembelian bukit. Kita tidak boleh membuat pasaran terbuka seperti sekarang," tambahnya lagi.

"Tetapi, Pak Ngah. Yang sudah runtuh tetap runtuh. Mana boleh lagi membuat bukit. Apa kata kalau kita bina tembok sekeliling kampung kita menggantikan bukit yang telah runtuh itu. Kita telah terkenal di seluruh dunia kerana bangunan berkembar kita. Kerana menara Mahawangsa kita. Kali ini biar dunia kenal kita dengan pagar kongkrit yang mengelilingi kampung kita. Biar mengatasi Tembok Besar Negeri China," kata Hamad memberi cadangan. Memang baguslah cadangan itu. Biarlah duit habis dan kering khazanah kampung. Kalau tidak cukup juga, curilah daripada KWSP atau LUTH atau PERKESO atau apa sahaja. Kalau Non tidak setuju, Non juga akan ditendang. Kalau Husin Terong tidak setuju, fitnahkan sahaja dia dengan Timah Kotai. Asalkan kampung terkenal. Biar Pak Cha dikatakan pemimpin kampung-kampung al-Mustadh'afin. Pemimpin yang berwawasan.

Semua ahli mesyuarat bersetuju dengan cadangan Hamad. Timah Kotai awal-awal lagi setuju. Tidaklah kainnya terselak lagi nanti. Non pun bersetuju juga. Kuranglah sedikit goyangan rumahnya walaupun ada kalanya piring dan pinggan terbang juga bilamana isterinya naik angin. Hamad yang memberi cadangan sudah tentulah bersetuju. Sedaplah sedikit perut apabila sudah tidak berangin. Anak-anak muda pun kuranglah sedikit angin-angin asmara mereka dan tidaklah keluar lagi bersama-sama pemuda untuk mengambil angin.

Sebelum tidur pada malam itu, Pak Cha berkira-kira untuk membina tembok di dalam kepalanya. Biarlah tembok itu menghalang angin sebelah utara dahulu. Bermula dari penjuru sebelah barat kampung Mahawangsa menganjur sehingga ke sebelah timur kira-kira dua puluh kilometer. Dahulu angin utara tidaklah bahaya sangat. Yang bahayanya angin dari Timur. Tetapi selepas kubu mereka di sebelah utara yang memang terkenal itu runtuh, Pak Cha bercadang untuk membina tembok di sebelah utara dahulu. tinggi tembok itu lima ratus kaki dan setebal satu ratus inci. Fasa kedua pula akan bermula dari penjuru sebelah timur menganjur hingga ke selatan untuk menghalang angin dari timur pula. Angin yang sudah terkenal dengan kewibawaannya merobohkan beberapa buah rumah sejak dari dahulu. Angin selatan, biarlah dahulu. Bukannya kuat sangat. Kalau ada pun hanya setakat angin dalaman yang boleh diselesaikan adik-beradik.

Tiba-tiba Pak Cha merasa ada angin mencucuk-cucuk urat sarafnya. Bermula dari urat yang kecil-kecil lalu merayap ke urat-urat yang besar-besar pula. Isterinya yang berada di sebelahnya dikejutkan. Akhirnya Pah Cha terkulai di sebelah isterinya. Pada malam itu Pak Cha tidak mampu menahan angin. Dan sampai bila-bila pun dia dan semua ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung tidak dapat menahannya. Sipongangnya sungguh besar dan dahsyat.

4 April 1998