Di Antara Islam dan Yahudi
Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University, Jordan
DI DALAM terjemahan al-Quran yang dilakukan oleh Rashad Khalifa, dia banyak mengatakan bahawa ibadat-ibadat yang dilakukan oleh umat Islam adalah kesinambungan daripada ibadat Nabi Ibrahim. Justeru, umat Islam tidak lagi berhajat kepada Hadis Nabawi kerana semua ibadat ini telahpun dilakukan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam. Kenyataan ini kononnya menolak dakwaan ulama Islam yang mengatakan bahawa umat Islam memerlukan hadis yang menerangkan secara terperinci hukum-hukum yang disebutkan secara am sahaja di dalam al-Quran (al-Siba'i, al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri' al-Islami, 155).
Di dalam tafsiran Rashad Khalifa terhadap ayat 128 surah al-Baqarah, dia mengatakan: Many Muslim entertain the erroneous idea that Muhammad was the source of religious practice in Islam, namely, salat, zakat, fasting, and hajj pilgrimage. However, the Quran teaches us that all religious duties were revealed to us through Abraham (Rashad Khalifa, Quran: The Final Scripture, 13).
Di dalam surah al-Nahl, ayat 123 pula, dia mengatakan bahawa Nabi Ibrahim ialah sumber agama Islam manakala Nabi Muhammad pula hanyalah pengikut kepada Nabi Ibrahim. Ayat itu bermaksud: Kemudian Kami wahyukan kepadamu: Ikutilah millah Nabi Ibrahim yang hanif itu. Dia bukanlah orang yang menyukutukan Allah (al-Nahl: 123, terjemahan oleh Departemen Agama Indonesia, 1979).
Perkara yang serupa dikatakan oleh Kassim Ahmad di dalam bukunya Hadis: Satu Penilaian Semula. Idenya sama dengan ide Rashad Khalifa. Katanya: The Quran clearly states that the obligatory prayers and all other religious observances of Islam were originally taught to Abraham. All the prophets and their true followers since Abraham practiced them, but, as the Quran also informs us, later generations, including the Arabs at the advent of Muhammad, had lost these prayers. The prayers of the Arabs at the Shrine at the time were described by the Quran as "no more than deceit and alienation (Kassim Ahmad, Hadith: A Re Evaluation, Internet Edition).
Saya hairan kenapa kedua-dua mereka ini mengatakan bahawa Nabi Muhammad mengambil ajarannya daripada Nabi Ibrahim? Kenapa mereka tidak mengatakan sahaja bahawa Nabi Muhammad mengambil ibadat-ibadat ini daripada agama Yahudi? Bukankah Nabi Ibrahim itu datuk kepada Yaakob yang digelar Israel? (Lalu kata orang itu: "Namamu tidak disebutkan lagi Yaakob, tetapi Israel, sebab engkau telah bergumul melawan Allah dan menang" (Taurat, Kejadian, 32:28). Dan syariat Yaakob sama sahaja dengan datuknya (Had you witness Jacob on his death bed; He said to his children: What will you worship after me? They said: We will continue to worship you God, and the God of your fathers Abraham, and Ishmael, and Isaac; the one God; to him we are Muslim (submitters) ( Rashad Khalifa, Quran: The Final Scripture, 14). (Or were ye present when death came to Jacob, when he said unto his sons: What will ye worship after me? They said: We shall worship thy God, the God of thy fathers, Abraham and Ishmael and Isaac, One God, and unto Him we have surendered (Marmaduke Pichtall, The Meaning of The Holy Quran, 44).
Barangkali temberang mereka akan pecah sekiranya mereka terus mengatakan bahawa Syariat Islam berasal daripada Yahudi. Lalu mereka mengambil Nabi Ibrahim sebagai batu loncatan untuk mengelabui mata umat Islam.
Tetapi ide ini sudah lama. Sudah pun dinafikan sendiri oleh al-Quran al-Karim. Firman Allah ketika menjawab tuduhan kaum Musyrikum Quraisy yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa meraka berkata al-Quran itu diajarkan oleh seseorang manusia kepadanya (kepada Muhammad) padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan bahawa Muhammad belajar itu ialah bahasa 'Ajam, sedangkan al-Quran adalah di dalam bahasa Arab yang terang ( surah al-Nahl: 103). Allah Taala menafikan dakwaan kaum Quraisy yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad hanyalah mengutip ajarannya daripada agama Yahudi, Nasrani dan Zoroaster. Menurut mereka ajarannya Nabi Muhammad tidak lebih daripada kesinambungan agama-agama ini.
Firman Allah lagi yang bermaksud: Dan al-Quran itu sememangnya diturunkan oleh Tuhan semesta alam. Diturunkannya oleh al-Ruh al-Amin (Jibril). Ke dalam hatimu (Muhammad) agar engkau tergolong di kalangan orang-orang yang memberi peringatan. Dengan bahasa Arab yang nyata. Apakah tidak cukup bukti bagi mereka bahawa para doktor Israel sendiri pun mengakuinya (al-Syuara: 192-7).
Selepas itu irama ini cuba didendangkan pula oleh para orientalis Yahudi dan Kristian. Tor Andraue berkata: Tidak syak lagi bahawa sebahagian besar daripada ajaran Islam diambil daripada agama Yahudi dan Nasrani. Perkara ini tidak memerlukan satu kerja yang kuat untuk dibuktikan (Tor Andraue, Mohammed, the Man and His Faith).
J.N. Anderson pula berkata: Muhammad mengambil ajarannya daripada Talmud, buku-buku legenda Yahudi dan rujukan-rujukan Kristian (J.N. Anderson, The World Religions).
Kata Carl Brockelman pula: Muhammad melakukan solat dua rakaat pada setiap hari di Mekah dan tiga kali sehari di Madinah seperti orang Yahudi. Lalu dicampurkan kedua-dua solat ini menjadi lima kali mengikut ajaran Majusi (Carl Brockelman, Tarikh al-Syuub al-Islamiyah, 1: 43).
Katanya lagi: Dia (Muhammad) menjadikan hari Jumaat sebagai hari untuk solat beramai-ramai meniru Yahudi yang melakukan solat pada hari Sabtu. Puasa pada hari kesepuluh Muharram yang dinamakan Asyura pula diambil daripada Yom Kippur Yahudi (Carl Brockelman, Tarikh al-Syu'uub al-Islamiyah, 87).
Sesungguhnya ibadat-ibadat yang kelihatan sama perkataannya di antara daerah pemikiran yang berbeza tidak semestinya menunjukkan bahawa yang kemudian mengambil faedah daripada yang terdahulu kecuali ada bukti-bukti yang kukuh. Justeru, walaupun terdapat persamaan dari segi istilah, namun terdapat perbezaan di dalam tunjang ibadat tersebut. Persamaan istilah secara sampingan ini menunjukkan kesatuan sumber yang tumbuh daripadanya ajaran-ajaran ini.
Perkara Syariat Sebelum Kita ini merupakan perbincangan di dalam bidang Usul Fiqh. Sesetengah ulama menafikan kesinambungan Syariat Sebelum kita. Di antara mereka ialah ulama-ulama Mazhab Maliki dan kebanyakan ulama Ilmu Kalam. Manakala sebahagian daripada ulama Hanafi, Hanbali, Ibnu al-Hajib, al-Baidhawi mengatakan ada sesetengah syariat terdahulu adalah syariat kita (lihat Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 2: 838). Insya-Allah kita akan dapat ikuti perbahasan di dalam bab ini di dalam ruangan yang lain.