Penyediaan surau di Presint 8 dibina sebagai memenuhi keperluan dalam pelan utama pembangunan Putrajaya yang mensyaratkan agar sebuah surau dibina bagi setiap 40 hingga 100 unit kediaman.

Pembinaan surau ini juga merupakan pelengkap bagi kelompok kemudahan kejiranan di Presint 8 yang turut merangkumi sebuah dewan serbaguna, pasar, medan selera, pusat komersial dan pusat perkhidmatan Perbadanan Putrajaya.

Dewan sembahyang utama surau ini yang dihiasi dengan ukiran-ukiran yang indah, mampu menampung lebih kurang 250 jemaah.

 

 
Landskap yang menghijau ditambah dengan elemen-elemen air mengelilingi surau ini menenangkan suasana.
 
 
 
 

 

Terletak di atas tapak seluas 2,068 meter persegi, surau di Presint 8 ini berkedudukan amat strategik kerana berhampiran dengan lain-lain kemudahan kejiranan setempat, selain daripada berdekatan dengan kawasan-kawasan perumahan.

Berkonsepkan satu kemudahan menyeluruh bagi masyarakat setempat, surau ini dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan dewan sembahyang utama yang mampu menampung lebih kurang 250 jemaah, disambung dengan ruang sembahyang di taman bagi menampung sebarang lebihan jemaah, taman permainan kanak-kanak, dan juga ruang letak kereta dan motosikal.

Kawasan-kawasan ini, selain dari dewan sembahyang utama boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan di samping menjadi tempat rekreasi. Kemudahan ini disokong pula dengan bilik serbaguna yang boleh dijadikan kelas agama dan tempat perbincangan atau mesyuarat.

Rumah Naqib di sebelah kiri dewan utama pula digunakan bagi menempatkan imam dan bilal surau untuk memastikan urusan harian surau berjalan dengan lancar.

Kesemua kemudahan ini dihubungkan dengan laluan berbumbung untuk kemudahan jemaah yang dihiasi pula dengan landskap yang indah, lengkap dengan elemen air bagi menggambarkan keharmonian antara alam, manusia dan penciptanya di samping mewujudkan suasana hening dan damai, menambahkan ketenangan para jemaah untuk beribadah sebaik sahaja melintasi gerbang utamanya.

Segala penyediaan komponen kemudahan surau ini dibina dengan begitu teratur dan teliti agar ianya sesempurna mungkin untuk memberikan kemudahan dan keselesaan masyarakat untuk beribadah. Maka, terserah pula kepada para pengguna terutama jemaah-jemaah, untuk memakmurkan surau dan menggunakan segala kemudahan yang ada
dengan berhemah.


Surau Presint 8 yang menjadi sebahagian daripada kelompok kemudahan kejiranan di kawasan tersebut.