Nilai Seorang wanita solehah

Dibawah ini adalah beberapa petikan hadis yang menyatakan mengenai kelebihan wanita solehah, mudah - mudahan dengan membaca dan menghayati hadis ini akan memberi kekuatan kepada kita untuk mengamalkan Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Insya - ALLAH.

"Empat jenis, siapa yang diberi akan keempat - empat jenis ini beerti dia telah memperolehi sebaik - baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu bersyukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa yang selalu sabar dengan cubaan dan isteri yang tidak melakukan dosa dan menzalimi suaminya".

Ath-Thabrani.

"Tidak perlu lagi seorang mukmin setelah ianya bertakwa kepada ALLAH akan sebaik - baik keperluan baginya selain dari isteri yang solehah. Jika ia menyuruh isteri mentaatinya. Dan jika dia melihat kepada isterinya, isterinya menyukakan hatinya. Dan jika dia menyumpah memarahi isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya. Dan jika suaminya tiada dirumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya".

Ibnu-majah.

"Janganlah kamu mengahwini wanita kerana paras rupa yang cantik, mungkin paras rupa itu membawa kehancuran, jangan kamu kahwini wanita kerana hartanya kerana berkemungkinan harta itu membawa kepada kezaliman. Tetapi kahwinlah wanita kerana agamanya, seorang wanita hamba yang hitam yang menghayati agama sesungguhnya lebih baik"

Ibnu - Majah.

Wallahua'lam.

DIALOG IBLIS (ALAIHI LAKNAT) DENGAN RASULULLAH S.A.W

Kepada sahabatku semua..... ambilah pengajaran dari peristiwa di bawah ini.

Allah swt telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa dengan Rasulullah saw untuk memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad saw dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia. Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata, "Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah saw. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras" Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah saw dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah saw. Maka sembah Iblis(alaihi laknat),"Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?" Maka jawab Nabi dengah marah "Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?" Sembah Iblis,"Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan." Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu" Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.

Soalan Nabi (1) - "Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?" Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini" Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba"

Soalan Nabi ke 2 - "Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah" Jawab Iblis - "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda drp emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram. Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglaah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap saat."

Soalan Nabi ke 3 - "Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?" Jawab Iblis - "Sekelian itu adalah anugerah drp Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yg tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah SWT hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kpd hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri(Siti Hawa) yg memerintah sekelian bidadari. Hamba bertanbah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat. Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yg menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dgn berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah drp api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan."

Soalan Nabi ke 4 - "Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?" Jawab Iblis - "Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba"

Soalan Nabi ke 5 - "Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya - matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua membawa kpd kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman"

Soalan Nabi ke 6 - "Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?" Jawab Iblis - "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya."

Soalan Nabi ke 7 - "Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?" Jawab Iblis - "Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"

Soalan Nabi ke 8 - "Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kpd hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menhancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa."

Soalan Nabi ke 9 - "Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?" Jawab Iblis - "Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar- besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang "Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz Hadis tuan. Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan telah mengatakan, "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'. Saidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kpdnya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid" Saidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menunduk kan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata "Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.

Soalan Nabi ke 10 - "Bagaimana tipudaya engkau kpd umatku?" Jawab Iblis - "Umat tuan itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s "Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat" Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kpd dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur"

Soalan Nabi ke 11 - "Siapa yang serupa dengan engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam"

Soalan Nabi ke 12 - " Siapa yang mencahayakan muka engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji"

Soalan Nabi ke 13 - "Apakah rahsia engkau kepada umatku?" Jawab Iblis - Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari"

Soalan Nabi ke 14 - "Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis - "Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang."

Soalan Nabi ke 15 - "Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?" Jawab Iblis - "Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kpd Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya."

Soalan Nabi ke 16 - "Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?" Jawab Iblis - "Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu"

Soalan Nabi ke 17 - "Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat"

Soalan Nabi ke 18 - "Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?" Jawab Iblis - "Orang yg banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam"

Soalan Nabi ke 19 - "Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya"

Soalan Nabi ke 20 - "Apa lagi yang memecahkan mata engkau?" Jawab Iblis - "Orang yang taat kpd kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup"

Semoga dapat berfaedah dan pengajaran kepada kita semua.

wassalam.

Tanda -tanda kiamat

Firman Allah, maksudnya: "MANUSIA BERTANYA KEPADAMU TENTANG HARI BERBANGKIT (KIAMAT). KATAKANLAH: SESUNGGUHNYA PENGETAHUAN TENTANG (DATANGNYA) KIAMAT ITU HANYA ADA PADA SISI ALLAH." DAN TAHUKAH KAMU (WAHAI MUHAMMAD), BOLEH JADI KIAMAT SUDAH DEKAT PADA WAKTUNYA." AL-AHZAB:63)

Tanda-tanda kecil kiamat.

  1. Seorang hamba sahaya perempuan dikahwini tuannya.
  2. Ilmu agama sudah dianggap tidak penting lagi.
  3. Ilmu agama sudah tidak difahami dan tidak dipelajari para manusia.
  4. Tersebarnya perzinaan kerana mendapat izin rasmi kerana mendirikan tempat pelacuran/perzinaan oleh pemerintah.
  5. Segala minuman keras seperti arak, diminum secara berleluasa, peminumnya sudah tidak kenal dosa malah menjadi kebanggaan baginya.
  6. Lahirnya para Dajjal (pendusta) yang jumlahnya hampir 30 orang, semuanya mengaku utusan Allah.
  7. Ilmu agama dicabut (ramai alim ulama meninggal dunia).
  8. Banyak berlaku gempa bumi.
  9. Zaman sudah dekat mendekati.
  10. Banyak fitnah memfitnah.
  11. Banyak pembunuhan.
  12. Banyak harta bagi setiap orang hingga tak tahu membelanjakannya.
  13. Ramai orang bermegah dengan projek mega.
  14. Banyak gunung digondol dan dihapuskan.
  15. Ramai orang bodoh rajin beribadah hingga mudah / senang dirayu iblis.
  16. Orang yang ahli membaca Al-Quran tetapi fasik, yakni sembahyang dianggap remeh, mudah dan ditinggalkan.
  17. Banyak mendirikan masjid tapi tidak mengimarahkannya.
  18. Banyak turun hujan tetapi sedikit tumbuh-tumbuhan.
  19. Banyak orang menjadi pemimpin tetapi tidak boleh dipercayai.
  20. Ramai orang solihin meninggal dunia.
  21. Anak melawan ibubapa.
  22. Hujan di musim kemarau.
  23. Orang pendusta dianggap benar,orang jujur dibohongi dan tidak dipercayai lagi.
  24. Orang yang jauh menjadi akrab tetapi hubungan keluarga terputus.
  25. Setiap desa dikepalai orang munafik.
  26. Tempat-tempat pengimaman sama dihias.
  27. Lahir ramai anak hasil perzinaan.
  28. Banyak minuman keras.
  29. Ramai orang memutuskan tali persaudaraan.
  30. Menuntut ilmu bukan kerana agamanya tetapi bermaksud utk perolehi pangkat dan kedudukan.
  31. Ramai kaum suami menuruti kehendak isterinya.
  32. Para pembesar / penguasa melakukan zina.
  33. Kitab suci Al-Quran dihina dan diremehkan.
  34. Tujuan hidup untuk keperluan perut bukan agama.
  35. Orang alim (ulama) sudah tidak ditaati.
  36. Orang alim sudah tidak disenangi.
  37. Orang kaya dimuliakan kerana kekayaannya.
  38. Banyaknya berlaku penceraian suami dan isteri.
  39. Banyak kematian secara mendadak.
  40. Ramai lelaki merupai wanita dan wanita merupai lelaki.
  41. Al-Quran dibaca untuk diperlagukan.
  42. Ulamak memihak kepada pemerintah lalu menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
  43. Rasuah berleluasa.
  44. Ramai orang bermegah meninggikan bangunan rumahnya.
  45. Ramai orang menjual-beli hukum.
  46. Memandang ringan masalah perceraian.
Berdasarkan hadith riwayat Iman Bukhari, daripada Abu Hurairah.

* Marilah kita menginsafi diri sesama kita semoga Allah sentiasa merahmati kita sekalian.

· Semua tanda diatas sudah ada di dalam masyarakat kita hari ini.

Awasi gerakan ini

Malaysia tumpuan gerakan Kristian KUALA LUMPUR, Ahad - Pendakwah Kristian menjadikan Malaysia di antara negara sasaran bagi satu gerakan dakwah yang dipanggil '10/40 Window' yang ditujukan khusus kepada umat Islam, menurut laporan sebuah majalah Amerika. Majalah The Minaret terbitan Pusat Islam di California berkata, gerakan dakwah itu menganggap negara Islam sebagai perbatasan terakhir untuk kegiatan dakwah mereka dengan menggunakan pelbagai cara, termasuk perhubungan mel elektronik (e-mel) melalui Internet.

Majalah itu yang menyiarkan suatu pendedahan terperinci mengenai kegiatan dakwah Kristian berkenaan baru-baru ini berkata, Malaysia dianggap sebagai sebuah negara Islam yang sukar ditembusi, tetapi pendakwah Kristian yang berpusat di Gereja Pentecostal Holiness Church di Amerika sudah dapat masuk ke Malaysia secara tidak langsung. Majalah itu memetik seorang pendakwah gereja itu, Mike Bowen dari Georgia sebagai berkata, dia dapat memasuki Malaysia untuk berdakwah melalui kegiatan iktisasnya sebagai seorang pereka lanskap. Bowen dan isterinya Cindy, kedua-duanya aktif dalam kegiatan dakwah, tiba di Malaysia pada 1987 untuk gereja Pentecostal Holiness dan berada di negara ini beberapa tahun sebelum kembali ke Amerika. Mereka dijangka kembali semula ke Malaysia bulan ini kerana Bowen sudah diterima untuk bekerja sebagai pereka lanksap oleh sebuah syarikat di Petaling Jaya. Cindy dipetik sebagai berkata: "Kami berdua tahu bahawa akhirnya Tuhan akan membawa kami balik ke Malaysia untuk mengajar dan berdakwah kepada orang Melayu yang belum pernah mendengar mengenai agama Kristian." Pasangan Mike dan Cindy Bowen itu sudah membuat persiapan selama 10 tahun untuk kegiatan dakwah mereka yang ditujukan kepada penduduk Islam di Malaysia. Sejak lawatan pertamanya pada 1987, Bowen sudah mendapat kelulusan sarjana muda dalam bidang Pendakwahan Evangelism (pendakwahan Kristian) di Kolej Southwestern Assembly of God di Waxahachee, Texas, manakala Cindy pula sudah menjalani kursus dalam bidang pendidikan Kristian. Pasangan itu bangga kerana walaupun ada sekatan terhadap pendakwah Kristian di kalangan orang Islam di Malaysia, mereka dapat menggunakan pintu belakang yang disebut oleh mereka sebagai 'creative access' atau jalan masuk secara kreatif. "Memang susah betul dapat masuk ke Malaysia kerana ia sebuah negara Islam tertutup. Tetapi Tuhan telah membuka pintu. Buat sementara waktu kami tidak boleh pergi secara terbuka, tetapi kemudian Mike mendapat kerja sebagai seorang perunding dengan bertaraf penduduk tetap di sana menerusi sebuah syarikat lanskap".

Syarikat yang mengambil Bowen sebagai perunding turut dinamakan dalam laporan itu sebagai 'Agrigreen Machine & Landscape' di Petaling Jaya. Cindy mendakwa syarikat itu milik orang Islam, tetapi ada orang bukan Islam dalam lembaga pengarahnya. Pemeriksaan oleh Bernama mendapati tiada syarikat yang bernama Agrigreen Machine & Landscape di Petaling Jaya atau Kuala Lumpur, tetapi ada sebuah syarikat yang bernama Agrigreen Machinery di SS19, Petaling Jaya. Apabila dihubungi, seorang pekerja di situ mengesahkan bahawa Agrigreen Machinery ada mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat lain yang bernama Agrigreen Landscapes Sdn Bhd. Butir-butir lain yang diperolehi termasuk Pengarah Urusan kedua-dua syarikat itu ialah Aaron Rajan dan pengarah-pengarahnya terdiri daripada Looi Teong Chye, Michael Yam, David Yong dan Aaron Rajan sendiri. Ini bermakna tidak ada seorang pengarahpun yang beragama Islam dalam syarikat itu seperti yang didakwa Bowen. Rajan apabila dihubungi oleh Bernama tidak dapat berbual lama kerana menurutnya dia terpaksa menghadiri satu mesyuarat dengan segera. Tetapi sebelum mengakhiri perbualan pendek melalui telefon itu, Rajan mengesahkan bahawa Mike Bowen akan datang ke Malaysia bulan ini untuk bekerja dengan syarikatnya. Perkara ini juga disahkan oleh seorang pekerja syarikat itu yang dihubungi sebelum itu. Menurut Bowen, di Malaysia beliau dan isterinya merancang untuk mengasaskan dua buah Gereja Pentecostal Holiness di Kuala Lumpur dengan melatih kakitangan gereja dan membawa paderi-paderi dan pendakwah Kristian untuk bekerja secara sulit di seberang laut. Katanya, oleh kerana negara-negara Islam dan umat Islam dianggap sebagai 'Perbatasan Terakhir' (The Last Frontiers) untuk kegiatan pendakwah Kristian, anggotanya seperti pasangan Bowen itu dipanggil The Frontiers. The Frontiers ini menggunakan pelbagai cara yang canggih untuk menyebar ajaran Kristian di kalangan umat Islam dengan email menjadi cara paling giat sekali digunakan.

Mengikut satu rancangan Internet yang dipanggil 'Email Assistance Programme', satu daripada tugas pekerja rancangan ini ialah untuk memberi bantuan kepada anggota Frontiers dalam pelbagai bidang kecekapan. Mike dan Cindy Bowen sendiri menjalankan kegiatan email mereka dengan menggemblengkan penyokong dan pengelola rancangan itu di Internet. Satu daripada kegiatan mereka adalah penggalakan pemberian 'doa' untuk orang Islam supaya hati mereka terbuka kepada agama Kristian menerusi apa yang dipanggil 'pertalian doa' (prayer chains). Sepucuk email yang diterima oleh seorang rakyat Malaysia yang mempunyai hompej di Internet baru-baru ini menunjukkan kepekaan pendekatan mereka terhadap masyarakat Islam. Mesej itu yang bukan daripada Bowen berbunyi: "Hello, saya ingin berhubung dengan orang Melayu Kristian di Internet. Saya dari sebuah kumpulan di Amerika Syarikat yang berhasrat untuk berdoa untuk orang Malaysia. Kami mahu berhubung dengan sesiapa yang tahu cara-cara khusus untuk kami berdoa. Bolehkah beritahu saya sama ada cara ini sesuai dengan negara dan kebudayaan anda. Jika ini menyinggung, saya minta maaf, jika tidak, bolehkah kiranya anda letakkan permintaan ini di tapak Internet anda dan galakkan sesiapa saja supaya menjawab." Menurut majalah The Minaret, pendakwah Kristian sedang aktif di negara-negara Islam pada masa ini dan di mana kegiatan mereka disekat, mereka masuk umpamanya sebagai perunding dan peniaga. Ia juga melaporkan bahawa pendakwah Kristian sekarang bergiat dalam Badan Perisik Pusat Amerika (CIA). - Bernama

Sifat - sifat pakaian wanita islam

Secara ringkas berikut adalah sifat - sifat pakaian wanita Islam, berpandukan kepada Al Quran (surah An Nur 31 dan Surah Al Anzab ayat 59) Hadith dan ajaran para ulamak dan hukamak Islam:

  1. Pakaian itu mestilah menutup aurat.

  2. Pakaian tersebut tidak boleh terlalu nipis sehingga terbayang bentuk tubuh dari luar.

  3. Tidak ketat dan tidak sempit, tetapi longgar dan selesa dipakai. Menutup bahagian yang menarik perhatian lelaki.

  4. Pakaian itu tidak sekali - kali disemarakkan dengan bau - bauan demikian juga dengan badan wanita itu, kerana bau - bauan itu ada pengaruhnya kepada nafsu kelamin lelaki yang ajinabi. Wanita yang memakai bau - bauan ketika keluar rumah, sehingga dihidu oleh lelaki disifatkan oleh nabi sebagai pelacur.

  5. Warna pakaian yang terbaik ialah hitam atau gelap sehingga tidak bernafsu lelaki melihatnya.

  6. Pakaian tersebut tidak menyerupai pakaian wanita kafir atau musrik.

  7. Pakaian tersebut tidak menyerupai pakaian lelaki.

  8. Pakaian itu dipakai bukan dengan tujuan untuk bermegah - megah.

Keterangan lanjut mengenai pakaian wanita ini boleh didapati didalam buku Al Hijab oleh Allahyarham Al Ustaz Muhammad bin Wan Muhammad Ali.

Alamat mati dalam Husnulghathimah (keadaan baik)

  1. Sempat mengucap dua kalimah syahadah.

  2. Berpeluh didahi. Sabda Rasulullah:"Bahawa matinya seseorang mukmin itu dengan kelaurnya peluh didahi", Riwayat oleh Ahamd dan Termidzi.

  3. Mati pada malam atau hari Jumaat. Sabda Rasulullah "Tidak seorang muslim pun yang mati pada hari atau malam Jumaat melainkan Allah akan menjaganya dari fitnah kubur.

  4. Mati di medan perang keran membela agama Allah.

  5. Bagi orang yang mati syahid ada 6 kelebihan:
    1. Akan diampuni dengan serta merta dosanya serta diperlihatkan tempat duduknya disyurga (kecuali mereka yang masih ada urusan hutang).

    2. Diselamatkan dari seksa kubur.

    3. Aman dari ketakutan yang teramat besar dan dahsyat.

    4. Diperhiasi dengan iman.

    5. Dikahwinkan dengan bidadari (semiskin - miskin ialah 49 bidadari).

    6. Dapat memberi syafaat kepada 70 orang keluarganya. Riwayat oleh Termizi, Ahamd dan Ibnu Majah.

  6. Mati kerana melhirkan anak.

  7. Mati kerana taun, Sabda Rasulullah, "taun itu satu kematian syahid bagi setiap mukmin". (Hendakalh ia sabar dan redha menganggungnya). Riwayat oleh Muslim.

  8. Mati akibat sakit perut maka ia mati syahid, sabda Rasulullah, Dan barang siapa mati kerana sakit perut maka ia mati syahid". Riwayat oleh Muslim.

  9. Mati tengelam dan tertimbus oleh bangunan.

  10. Mati terbakar. Riwayat Tabrani.

  11. Mati dalam nifas. Riwayat At Tabrani.

  12. Mati kerana sakit TB. Sabda Rasulullullah, "orang yang mati kerana menanggung penyakit kurus kering ia mati syahid. Riwayat Tabrani.

  13. Mati akibat luka perang du jalan Allah. Sabda Rasulullah "Barang siapa yang luka kerana perang di jalan Allah itu mati, maka beerti ia syahid, atau kena pijak oleh unta atau kudanya atau ia mati ditempat tidurnya (setelah berperang itu) dengan sebab apa - apa pun yang dikehendaki oleh Allah, maka sesungguhnya ia adalah mati syahid dan akan masuk syurga". Riwayat Daud.

  14. Mati mempertahankan harta. Riwayat Bokhari.

  15. Mati kerana mempertahankan diri. Sabda Rasulullah "Barang siapa terbunuh kerana mempertahankan darahnya (dirinya) maka ianya mati syahid. Riwayat Abu Daud.

  16. Mati dalam bersiap - siap untuk berperang dijalan Allah.

  17. Mati ketika sedang beramal soleh seperti sedang menuntut ilmu (ilmu yang dibolehkan oleh Islam) dimasjid atau sedang berdakwah.

  18. Berkata Abu Laith, "Barangsiapa yang ingin selamat dari seksa kubur maka haruslah ia melazimi 4 perkara dan meninggalakan 4 perkara:

    1. Mejaga sembahyang 5 waktu.

    2. Banyak bersedekah.

    3. Banyak membaca Al Quran.

    4. Banyak bertasbih.

    Dan hendaklah ia meninggalakan:

    1. Meninggalkan dusta.

    2. Meninggalakan sifat khianat.

    3. Meninggalkan sifat mengadu - domba.

    4. Mejaga Kencing.

Jalan ke syurga dan ke neraka

Jalan ke Syurga

  1. Mengajar ana kewajipan sebgai seorang yang beragama Islam.

  2. Beramal ibadah semasa muda dan diteruskan hingga ke tua.

  3. Bertolong - tolong kerana Allah.

  4. Menjauhkan diri dan keluarga daripada berzina kerana takut kepada Allah.

  5. Sembahyang tahjud dan menangis (menagis kerana insaf dan takut akan azab Allah).
  6. Bersedekah dan berwakaf, menderma dengan sembunyi (diam - diam).

  7. Berhubung hati dengan masjid dan rumah - rumah ibadah kerana sembahyang dan belajar agama Islam.

Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. menerangkan lagi tentang jalan - jalan untuk masuk syurga. Insya- Allah.

  1. Sembahyang berjamaah.

  2. Selalu berada di tempat pengajian agama.

  3. Menziarahi orang yang sakit.

  4. Mengadakan kenduri dan lain - lain (tidak melanggar syariat).

  5. Mendamaikan orang yang bergaduh.

  6. Menolong anak yatim dan orang miskin.

Jalan ke neraka

  1. Orang - orang yang tidak menjalankan tangungjawab memberikan pelajaran agama Islam kepada anak - anaknya.

  2. Orang kaya yang bakhil.

  3. Peniaga yang menipu.

  4. Peminum arak.

  5. Mengadakan majlis - majlis maksiat.

  6. BErzina.

  7. Menipu @ memakan harta anak yatim.

  8. Meringan - ringankan sembahyang.

  9. Tidak mengeluarkan zakat.

  10. Panjang angan - angan dan tidak mahu memhon ampun dan taubat kepada Allah.

Semoga Allah mengurniakan kita taufik, hidayah, inayah kekuatan dan ikhlas untuk mengamalkan perintahnya.
Amin....