Tajuk Buku: Empangan
Pengarang : Zakaria Ali
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbit : 1992
Muka Surat : 259 halaman
Pengulas : En.Mohd Rashid bin Yaakub
Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah,
78200 Kuala Sungai Baru, Melaka.
Empangan bermula dengan kisah kepulangan seorang siswazah dari sebuah universiti luar negara. Watak utama cerita ini iaitu Y digambarkan oleh pengarang sebagai seorang insan yang telah lama meninggalkan kampung halamannya untuk menuntut ilmu di luar negara dalam bidang kedoktoran.
Kepulangan Y ke kampung halamannya pada suatu malam awalnya mendapat sambutan dari kalangan penduduk desa yang masih mengamalkan kepercayaan karut atau animisme. Sambutan hangat ini kemudiannya menjadi hambar dan bertukar menjadi dingin apabila Y menyuarakan hasratnya untuk membawa keluar desa terpencil itu ke arah kemajuan dan pembangunan dan meninggalkan kepercayaan-kepercayaan karut yang telah sinonim dan berakar umbi dalam jiwa penduduk desanya.
Ekoran dari tujuan Y yang murni ini, penduduk kampung telah terbahagi kepada dua kelompok yang berbeza iaitu kelompok yang pro dan kontra kepada usaha Y. Pro ialah kelompok yang menyanjung usaha Y manakala kontra ialah kelompok yang memusuhi Y dan menyokong Nira Hitam iaitu ketua yang mengaut keuntungan dari sikap taksub dan kepercayaan membuta tuli kepadanya.
Berbagai dugaan telah ditempuhi oleh Y bagi menjalankan usahanya ini. Tentangan paling hebat datangnya dari Nira Hitam sendiri yang takut akan kehilangan pengaruh, kekuasaan dan kekayaan jika Y berjaya dalam rancangannya.
Untuk memastikan agar kedudukannya tidak tergugat, Nira Hitam telah menghasut dan mengarahkan pengikut-pengikutnya agar mengajar dan mencederakan Y.
Empangan berkesudahan dengan
kejayaan. Novel ini masih mengikut Konsep Hukum Karma di mana yang jahat
akan tumpas dan yang baik akan mendapat tempat yang sepatutnya. Justru
itu, impian Y hampir terlaksana dan Nira Hitam berjaya ditewaskan bukan
melalui peperangan tetapi melalui minda penduduk kampung yang sudah dapat
menilai tentang baik dan buruknya sesuatu pembaharuan.