Rencana 4
Masalah Mendapatkan Manuskrip Melayu Dari Perpustakaan (1)
Oleh
Ding Choo Ming
Pensarah FTSM & Felo ATMA
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi
Seperti dengan bahan-bahan perpustakaan yang lain, soal mendapatkan manuskrip Melayu dari perpustakaan bergantung juga pada sama ada manuskrip yang dikehendaki itu sudah diperolehi atau tidak, dan sama ada manuskrip itu sudah diproses atau tidak. Soalan yang kedua itu berhubung-kait dan bergantung selanjutnya pada sama ada perpustakaan itu mempunyai kakitangan yang cekap dan terlatih, maka menjadi pakar dan juga sama ada perpustakaan itu mempunyai sistem pembekalan yang berkesan atau tidak. Serangkaian masalah ‘sama ada’ itu ditimbulkan kerana faktor-faktor itu boleh menolong pada satu pihak dan juga boleh menghalang pada satu pihak yang lain. Dan, oleh sebab penyelesaian kepada masalah-masalah itu terletak di tangan manusia sendiri, maka semua perpustakaan haruslah berkerjasama dalam mengatasi masalah bersama itu demi kepentingan bersama. Perpustakaan di era digital dan era pensejagatan ini tidaklah harus mendirikan benteng mengurungkan diri seperti masa lalu.
Sebelum ini telah dikatakan bahawa setiap perpustakaan mempunyai cara yang tersendiri dalam mengurus manuskrip Melayu dalam koleksi masing-masing. Telah juga ditunjukkan akibat sistem organasisi perpustakaan yang berlainan itu, maka versi yang berlainan daripada manuskrip yang sama judulnya itu telah diberi nombor perolehan yang berlainan, maka disusun berselerakan. Banyak perpustakaan berpuas hati dengan sistem pentadbiran yang ada itu dengan mengatakan itulah sistem yang didapati paling baik dalam mengendalikan manuskrip yang mempunyai masalah yang berbeza daripada bahan cetak. Tidak kira sistem apa yang digunakan, ia mesti diikuti dan dipertahankan. Tanpa sistem, tidak ada orang akan tahu, lebih-lebih lagi dapat mencari apa-apa juga bahan daripada koleksi yang ada di perpustakaannya. Masalah yang timbul ialah dapatkah sistem yang tersendiri, masing-masingnya lain daripada yang lain, maka dianggap luar biasa itu dapat memenuhi kehendak pembaca dari perpustakaan yang lain? Pembaca umum biasanya lebih mengutamakan kepentingan dan keselesaan diri mereka daripada pertimbangan yang lain! Agar menjadi lebih berkesan dalam memenuhi kehendak pembaca, perpustakaan mesti mempunyai kakitangan yang cekap, terlatih dan banyak pengetahuan serta pengalaman. Kakitangan yang cekap dan serba tahu itu dapat memberitahu pembaca bahawa Kod Or 6051 di perpustakaan Universiti Leiden atau salinanya di institusi yang lain mengandungi lima buah manuskrip yang berlainan kerana manuskrip-manuskrip itu telah tersalah dijilid bersama-sama. Manuskrip-manuskrip yang dimaksudkan itu di antaranya Syair Mukomuko (ff 1-32), Syair Hukum Menteri yang Sembilan (ff 32-3), Syair Hukum Peroatian Triamang (ff 33-4), Syair Datuk Danan Seorang (ff 43-5) dan Syair Mimpi (ff 36-70, 79-81) Supaya tidak terkeliru dan menglirukan pembaca, kakitangan yang berkenaan harus juga mengemaskinikan maklumat di katalog untuk memastikan mereka sendiri mengetahui sekurang-kurang judul dan lokasi, kalau tidak mengetahui isi kasar manuskrip dalam koleksi yang dijaga itu. Menurut bekas Ketua Pusat Manuskrip Melayu di Perpustakaan negara Malaysia, barangkali disebabkan tidak mempunyai kakitangan yang mahir, selain tidak mempunyai katalog yang kemaskini, kakitangan di perpustakaan Algemeen Rijkarchief, The Hague, dan Gemeenteuniversiteit, Amsterdam, tidak tahu-menahu tentang adanya manuskrip Melayu di perpustakaan mereka. Beliau menambah bahawa beberapa buah manuskrip Melayu di perpustakaan dalam koleksi perpustakaan di Koninklijk Instituut voor de Tropen itu sebenarnya adalah manuskrip Melayu, tetapi telah disenaraikan sebagai manuskrip Arab.
Sarjana masa lampau yang ingin mendapatkan manuskrip Melayu untuk penyelidikan terpaksa mencari bahan-bahan itu di perpustakaan di negara-negara Eropah. Sebab utamanya ialah manuskrip Melayu di Eropah bukan sahaja sudah didokumentasi dengan sistematik, tetapi juga boleh diperolehi. Di sebaliknya, katalog manuskrip di institusi di dunia Melayu – melainkan Muzium Pusat di Jakarta – masih belum ada. Kini, selaras dengan majunya pengawalan bibliografi dan mudahnya teknologi reproduksi dan komunikasi, banyak manuskrip yang dahulunya tersimpan di perpustakaan Universiti Leiden dan perpustakaan yang lain di Eropah itu telah dibuat salinan dan sudah boleh didapati di perpustakaan yang lain. Di Malaysia, Pusat Manuksrip Negara mempunyai 2500 buah manuskrip (temu bual dengan Wan Ali pada 27 Januari 1999), maka tertonjol sebagai koleksi manuskrip yang paling besar di Malaysia. Demikianlah juga halnya dengan manuskrip Melayu yang dahulunya hanya boleh didapati di Nusantara itu telah semakin banyak digunakan sarjana dari negara-negara Eropah dan negara-nagara yang lain. Hampir semua kajian atau edisi yang berdasarkan teks manuskrip selama beberapa tahun kebelakangan ini telah didapati menggunakan juga manuskrip yang terdapat di Nusantara. Mulyadi dalam kajiannya telah menggunakan dua buah manuskrip Hikayat Indraputra dari Muzium Pusat, Jakarta (iaitu Bat. Gen. 125 dan Von de Wall 168) dan sebuah lagi dari Kuala Lumpur (iaitu Ms 37 Dewan Bahasa dan Pustaka) dalam kajiannya ke atas 30 buah manuskrip Hikayat Indraputra untuk ijazah Ph.Dnya. Kira-kira 20 tahun sebelum itu, seorang lagi penyelidik namanya Ras telah juga membahagikan manuskrip Hikayat Bandjar yang dikajinya untuk ijazah Ph.Dnya kepada dua golongan: golongan manuskrip dari Nusantara (kebanyakannya dari Jakarta) dan golongan manuskrip dari Eropah (kebanyakannya tersimpan di Universiti Leiden). (bersambung)
Dikirim oleh
Ding Choo Ming, Ph D
Pensyarah Fakulti Teknologi & Sains Maklumat
& Felo ATMA
Universiti Kebanngsaan Malaysia
Bangi
Tel 829/3584/829-2167
Rencana 5
Masalah Mendapatkan Manuskrip Melayu Dari Perpustakaan (2)
Oleh
Ding Choo Ming
Pensarah FTSM & Felo ATMA
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi
Adalah dipercayai bahawa, setelah digunakan sekali, bahan perpustakaan yang sama itu mempunyai potensi yang lebih besar akan digunakan lagi perlu masa lain, sama ada oleh sarjana yang sama atau orang lain. Namun, melainkan diri sarjana yang telah menggunakannya, kebanyakan pengkaji lain yang ingin menggunakannya itu akan mendapat maklumat bibliografi daripada kawan-kawan atau sarjana yang lain atau daripada surat-menyurat dengan perpustakaan yang berkenaan. Kepada pengkaji baru, sikap pasif, lebih-lebih lagi sikap terlalu berhati-hati dalam menjaga keselamatan manuskrip seperti yang ditunjukkan setengah kakitangan di setengah perpustakaan itu dipandang sebagai satu daripada faktor negatif menghalang mereka dalam mendapatkan manuskrip yang dikehendaki. Selain itu, biasa juga kedengaran rungutan daripada pengkaji dan sarjana mengatakan kakitangan perpustakaan di setengah universiti itu kurang ingin bekerjasama berbanding dengan kawan sejawatnya yang lain di institusi lain. Sikap suka memiliki (possessive), melindungi (protective), dan menghadkan (restrictive) setengah pustakawan terhadap bahan di bawah jagaan itu bukan tidak ada sebabnya. Memandangkan bahan-bahan itu bernilai tinggi dan sukar diganti sekiranya rosak atau hilang, maka kawalan keselamatan yang berlapis-lapis, maka ketat itu didapati perlu. Sebagai langkah keselamatan, hampir semua intitusi yang mempunyai koleksi manuskrip yang besar telah menyimpan bahan-bahan itu dalam koleksi khas. Tetapi, disebabkan bahan-bahan dalam koleksi khas itu tidak boleh disemak, lebih-lebih lagi dipinjam untuk dibawa keluar daripada koleksi itu dengan sesuka hati pembaca, timbullah konflik di antara pembaca yang mahu menggunakannya secara bebas di satu pihak dengan perlunya diadakan kawalan keselamatan ke atasnya di pihak yang lain. Untuk menjaga kepentingan semua pihak, semua pembaca mesti mematuhi peraturan perpustakaan.
Memandangkan manuskrip telah disimpan dalam koleksi khas yang tertutup, maka pembaca harus bergantung sepenuhnya pada kerjasama kakitangan untuk bahan yang dikehendaki. Tetapi, melainkan beberapa buah perpustakaan, termasuk Universiti Leiden, Muzium Pusat, Jakarta dan Pusat Manuskrip Negara, Kuala Lumpur, yang mempunyai koleksi manuskrip Melayu yang besar, perpustakaan yang lain tidak mempunyai kakitangan sepenuh masa, yang terlatih dan yang betul-betul berpengalaman dalam menguruskan koleksi itu. Akibatnya, perpustakaan yang lain itu sukar memberi perkhidmatan yang memuaskan pembaca. Masaalah lain yang perlu dibangkitkan di sini ialah sekiranya manuskrip ‘asal’ itu tidak dibenarkan dirujuk per se – kerana risiko ianya akan menjadi rosak atau hilang, perpustakaan itu perlu membuat salinan foto atau mikro ataupun mendigitasikanya supaya bahan duplikat itu dapat digunakan. Dengan itu, masalah kehilangan atau kerosakan manuskrip asal dapat dielakkan. Kalau tidak, perpustakaan sendiri akan terperangkap dalam mencari justifikasi mengawal keselamatan manuskrip sementara cuba mempromosikannya..
Disebabkan sifat bahan-bahan nadir itu, pembaca am tidak dibenarkan keluar masuk di koleksi khas dengan sesuka hati. Di sebaliknya, manuskrip yang diminta itu cuma boleh dirujuk dalam bilik khas dan tidak dibenarkan dibuat salinan foto. Peraturan-peraturan itu lebih merupakan langkah-langkah keselamatan untuk menjamin supaya manuskrip itu tidak menjadi lebih rosak lagi atau terus hilang. Tetapi, malangnya, pustakawan yang bertugas itu selalu dipersalahkan. Mereka dikritik kononnya bersikap terlalu birokratik dan menghalang. Konflik di antara pembaca dan pentadbiran perpustakaan itu berputar di sekitar perlunya peraturan yang tertentu itu dikekalkan untuk menjaga keselamatan bahan-bahan di satu pihak dan kesenangan dari segi pembaca supaya lebih bebas dan senang dalam mendapatkan manuskrip yang dikehendaki di satu pihak yang lain. Memandangkan cara yang digunakan dalam memperolehi, memperoses dan memberi perkhidmatan ke atas manuskrip-manuskrip itu berbeza daripada bahan-bahan am, maka teknik dan presedur yang khas dan berbeza didapati perlu diadakan. Tidak timbul masalah di sini yang satu set teknik sains perpustakaan untuk bahan-bahan tertentu itu betul manakala set yang lain itu salah. Yang penting ialah peraturan dasar yang diadakan khas untuk mengendalikan koleksi khas itu harus dihormati. Jika tidak, koleksi itu susah ditadbir dengan berkesan.
Yang penting ialah kedua-dua pihak mesti memahami masalah pihak lain. Masalahnya ialah hanya perpustakaan yang mempunyai koleksi manuskrip yang besar itu mempunyai justifikasi dan juga berkemampuan mengupah kakitangan sepenuh masa, lebih-lebih lagi yang pakar dan yang lain yang terlatih untuk mentadbir koleksi itu. Merekalah yang paling layak dalam menolong pembaca mendapatkan manuskrip yang dikehendaki. Di sebaliknya, perpustakaan yang mempunyai koleksi manuskrip yang kecil itu membebankan tanggungjawab yang seharusnya dipikul oleh kurator manuskrip itu ke atas bahu kakitangan yang sedia ada. Oleh sebab jahil di bidang itu, mereka juga kelihatan bersikap enggan berkerjasama, selain memang tidak berminat. Akibatnya, manuskrip yang sudah rosak sedikit itu mungkin akan menjadi lebih rosak lagi akibat tidak dijaga dengan betul, selain pembaca tidak dididik tentang teknik yang betul dalam menggunakannya. Akibat buruk yang lain ialah manuskrip yang sedia ada itu mungkin tidak dapat dijumpai untuk digunakan semata-mata kerana kakitangan itu tidak tahu-menahu adanya manuskrip itu. (bersambung)
Dikirim oleh
Ding Choo Ming, PhD
Pensyarah FTSM & Felo ATMA
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi
Tel 8293584/8292167
Rencana 6
Masalah Mendapatkan Manuskrip Melayu Dari Perpustakaan (3)
Oleh
Ding Choo Ming
Pensarah FTSM & Felo ATMA
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi
Kejahilan seumpama itu merugikan semua pihak. Pertama, kakitangan itu menghabiskan lebih banyak masa dan tenaga daripada yang diperlukan dalam mencari manuskrip yang diminta kerana terpaksa membuka semua kotak dan fail untuk mencarinya. Kedua, mereka mungkin terpaksa meminjam manuskrip daripada perpustakaan yang lain atau membeli lagi manuskrip yang sudah ada. Jalan untuk mengatasi masalah-masalah itu ialah mengadakan indeks judul yang penting (keyword-title index). Teknik itu dicadangkan kerana ia lebih mudah dan cepat dilaksanakan berbanding dengan mengkatalog setiap manuskrip yang berkenaan, lebih-lebih lagi pengkatalogan analitis (analytical cataloguing). Walau apa sekali pun, tanpa adanya sistem yang membolehkan manuskrip yang berasingan – tetapi telah dijilidkan bersama-sama – itu, seperti Hikayat Amir Hamzah atau Hikayat Tatkala Fatimah Bertanya Kepada Dzulfakar, atau Cerita Umar Maya Ini (Mss Add di Universiti Cambridge), pembaca mungkin mendapati sukar atau sama sekali tidak dapat menjumpai mana-mana juga manuskrip yang berkenaan itu. Selain itu, tanpa dokumentasi yang teliti dan kemaskini, pustakawan terpaksa menghabiskan lebih banyak masa daripada yang diperlukan. Inilah dikatakan hasil tidak setimpal dengan masa dan tenaga.
Penerbitan buku, edisi teks, terjemahan dan artikel penyelidikan yang lain berdasarkan penyelidikan yang dilakukan selama ini telah juga secara langsung memberi sumbangan yang tidak ternilai dalam mempromosikan teks-teks manuskrip yang berkenaan. Usaha itu bukan sahaja secara langsung telah menolong memperkenalkan khazanah sastera Melayu tradisional, tetapi juga secara tidak langsung telah menarik lebih ramai orang untuk turut serta dalam mengkajinya. Keistimewaan teks-teks itu ialah kita boleh membaca teks yang dicetak sebelah-menyebelah dengan teks asal dalam skrip Jawi dan juga kajian teks yang mempunyai banyak catatan nota sebelah-menyebelah dengan teks asal yang susah dibaca. Selain beberapa buah penerbit yang sudah terkenal menerbitkan bahan-bahan itu dalam siri masing-masing, di antaranya Bibliotheca Indonesica, di Leiden, Siri Kajian Sastera DBP di Malaysia dan Dokumentasi Sastera oleh Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Dept. Pendidikan dan Kebudayaan di Indonesia, banyak lagi jurnal kesarjanaan termasuk VBG, VKI, BKI, BEFEO, JMBRAS, RIMA, Dewan Sastera, Archipel dan Jurnal Filologi Melayu bukan sahaja merupakan media penting dalam menerbitkan hasil kajian sastera Melayu lama atau kajian teks yang pendek, tetapi juga bermacam-macam berita tentang penyelidikan pengajian Melayu.
Daripada media penerbitan seumpama itulah ratusan, malahan ribuan naskah teks yang sama, tidak kira sama ada panjang atau pendek, telah disebarkan di kedai buku, di perpustakaan dan institusi pengajian di banyak negara, berbanding dengan hanya beberapa naskah manuskrip buruk yang daif keadaannya dalam bentuk yang berlainan yang disimpan dalam koleksi khas di beberapa buah institusi yang tertentu. Akibatbya, di samping kira-kira 30 buah versi manuskrip Sejarah Melayu yang cuma boleh didapati di beberapa buah perpustakaan yang berserakan dan terpisah jauh di antara satu dengan yang lain, sekarang terdapat beribu-ribu naskah teks cetakan, edisi dan terjemahan Sejarah Melayu di seluruh dunia, sumbangan daripada usaha Abdullah Munshi di Singapura pada 1831, H.C. Klinkert pada 1884, Teeuw & Situmurang pada 1952, Sir Richard Winstedt, C. C. Brown dan John Leyden. Sejarah Melayu juga bukan sahaja telah dialihbahasakan ke dalam bahasa Cina, tetapi juga sedang diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun dan bahasa lain. Contoh lain tentang karya terjemahan, transliterasi, penyelidikan ke atas manuskrip Melayu, edisi teks dan sebagainya boleh dirujuk dari banyak bibliografi dan katalog yang sudah diterbitkan oleh Ismail Hussein pada 1978, Chambert-Loir (1975), UKM (1982). Setelah bahan-bahan itu tersebar luas, semakin lama semakin ramai orang bukan sahaja sekadar mahu mengikuti hasil penyelidikan daripada masa lampau, malahan bersedia untuk membuat sumbangan mereka untuk generasi yang akan datang. Kesemua usaha itu besar sumbangannya membuat teks manuskrip Melayu yang berkenaan itu lebih mudah didapati dalam bentuk-bentuk yang jauh lebih mudah digunakan berbanding dengan manuskrip asal yang buruk dan juga tidak dibenarkan dipinjam untuk dibawa keluar daripada koleksi khas perpustakaan masing-masing. Sekarang, sesiapa yang berminat, dapat membaca teks-teks yang tertentu dalam huruf rumi dengan senang di rumah, di pejabat dan tempat lain.
Masalahnya sekarang ialah banyak hasil penyelidikan yang diterbitkan pada masa lampau itu sudah tidak mudah didapati lagi. Di sini, sekali lagi orang ramai perlu mendapatkan kerjasama daripada perpustakaan. Untuk dapat memberi perkhidmatan yang diharapkan, perpustakaan harus mempunyai sistem yang membolehkannya mendapatkan bahan-bahan yang diminta pembaca sama ada daripada koleksinya sendiri atau dari perpustakaan yang lain. Tetapi, banyak perpustakaan telah memperalatkan peraturan hak cipta yang tercatat dalam buku-buku yang berkenaaan yang berbunyi ‘All rights reserved. No part of this book may be reproduced or utised in any form or by any means, electronic or mechanical or retrieval systems, without permission in writing from the publisher’ atau ‘For copyright reason, this book may not be issued to the public on loan or otherwise except in its original cover’ untuk menolak permintaan dalam mendapatkan salinan foto, mikro dan sebagainya. Selyang pandang, reaksi daripada pembaca kepada catatan itu berbelah bagi. Di antaranya pertanyaan yang terus terlintas di kepala kita ialah apakah gunanya kita membeli buku sekiranya pembeli sendiri tidak dibenarkan untuk memakainya? Demikian juga apakah gunanya perpustakaan membelanjakan begitu banyak wang dalam membeli buku sekiranya buku itu tidak boleh diproses, disimpan, lebih-lebih lagi dipinjamkan kepada pembacanya? Pertanyaan lain ialah bolehkah editor, apatah lagi penerbit menuntut hak cipta ke atas teks manuskrip lama yang mereka sendiri tidak tahu nama pengarang yang asal, bila ianya dicipta dan tidakkah mereka juga sudah melanggar undang-undang hak cipta? Pendek kata, bolehkah editor dan penerbit meluaskan tuntutan hak/cipta mereka ke atas karya orang lain? Menurut undang-undang hak cipta masa kini, mereka hanya berhak menuntut karya yang merupakan sumbangan kreativiti dan keintelektualan mereka sendiri. (bersambung)
Rencana 7
Masalah Mendapatkan Manuskrip Melayu Dari Perpustakaan (4)
Oleh
Ding Choo Ming
Pensarah FTSM & Felo ATMA
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi
Sebagaimana perkongsian bahan-bahan (resource sharing) yang telah dibincangkan, pengawetan manuskrip juga besar sumbangannya kepada dunia kesarjanaan dalam erti kata hanya manuskrip yang telah dijaga dengan baik telah dapat diperturunkan ke generasi yang akan darang dan dapat digunakan sehingga kini! Kerja itu telah dilakukan di skriptoria istana Melayu dan kemudian di perpustakaan awam di Eropah. Sayangnya banyak manuskrip Melayu yang sudah rosak di Nusantara akan menjadi lebih rosak tidak lama lagi jika tidak dijaga dengan baik, dan disebabkan kecuaian manusia sendiri, seperti berulang kali dibuat salinan foto, usia tua kertas, keadaan iklim yang ‘garang’ di Nusantara dan kurangnya kemudahan penyenggaraan di perpustakaan. Apa yang telah ‘pupus’ itu mustahil dapat ditebus kembali. Walaupun kita tidak mungkin dapat memulihkan kekuatan kertas yang sudah rapuh, tetapi kita masih boleh mengambil langkah positif untuk menjaga manuskrip yang diwarisi itu agar tidak hilang. Demikian juga walaupun kerja pengawetan itu tanggungjawab dan urusan perpustakaan yang berkenaan, tetapi memikirkan begitu banyaknya manuskrip yang sudah rosak di Nusantara, semua institusi yang berkemampuan patut tolong-menolong menyelamatkannya. Perkara yang perlu diperhatikan dalam projek pengawetan ialah segala tanda milik manuskrip tidak boleh dibuang. Manuskrip yang belum dijilid itu janganlah dijilid atau dipotong. Manuskrip yang sudah dijild, tetapi jilidannya sudah rosak itu harus diperbaiki jilidannya sahaja. Semua manuskrip harus disimpan dalam kotak yang tahan dan bebas asid (acid free). Dengan adanya jagaan yang baik, manuskrip yang sedia ada itu pasti boleh tahan lama.
Langkah lain yang bukan sahaja boleh menolong mengatasi masalah kerosakan dan kehilangan manuskrip, tetapi juga menjamin teksnya dapat disebarkan seluas-luasnya ialah pendigitasian dan memasukkan maklumat teks itu ke Internet. Teknologi itu mempunyai banyak keistimewaan yang tidak ditandingi proses pemikrofileman atau pemikrofisan yang popular pada tahun 1970an. Masalahnya bukan semua institusi mempunyai kemudahan penyalinan OCR (Optical Character Recognition), maka boleh membuatnya buat masa sekarang. Selain itu, ialah masalah kualiti imej daripada kertas manuskrip yang sudah kekuningan dan yang pecah di sana sini. Projek itu tidak juga dapat dibuat dengan cepat kerana muka suratnya tidak tersusun. Sehingga kini kadar ketepatan salinan OCR cuma setinggi 85%. Ini bermakna banyak kertja penyuntingan membetulkan kesilapan perlu dilakukan. Kerja itu amat berintensifkan buruh, maka keseluruhan projek itu lambat. Namun demikian, keistimewaannya ialah imej manuskrip itu boleh dipersejagatkan, dan boleh didapati di seluruh dunia dengan pantas, mudah dan murah. Masalah lain dalam pendigitasian ialah mendapatkan kebenaran tuan milik manuskrip untuk berbuat demikian kerana sehingga kini masih ada setengah mereka yang menghadiahkan (mewakafkan) manuskrip itu tidak mahu bahan-bahan itu dibuat salinan.
Baik teknologi pendigitasian atau pemikrofileman dan pemikrofisan abad yang 21 atau penyalinan tangan sebelum kurun yang ke 20 itu telah banyak menolong menyebarkan manuskrip dengan jauh lebih mudah dan cepat. Proses yang disebut itu juga penting dari segi pemeliharaan dalam erti kata setelah dibuat salinan, manuskrip ‘asal’ boleh disimpan, maka bebas dari gangguan. Dengan itu, konflik di antara pemeliharaan di pihak perpustakaan dan penggunaannya di pihak pembaca dapat diatasi. Berkat kemajuan IT dan teknologi penyalinan lain itulah juga perpustakaan di Malaysia, Australia dan negara-negara yang lain telah berjaya memperolehi salinan manuskrip Melayu yang dahulunya cuma disimpan di perpustakaan di negara-negara Eropah.. Kini, sarjana sudah boleh melakukan penyelidikan peringkat permulaan, dalam negeri masing-masing sebelum mendapati perlu untuk mengkaji manuskrip ‘induk’ itu di negara lain. Itupun jika perlu berbuat demikian di peringkat akhir penyelidikan. Dengan kata lain, sarjana masa kini, tidaklah lagi terpaksa berada di Eropah selama bertahun-tahun kerana penyelidikannya seperti sarjana masa lalu. Masalahnya sekarang ialah ramai pembaca keberatan menggunakan salinan mikro atau imej digital kerana membaca dari skrin pembaca mikro atau komputer sangat memenatkan mata. Sikap itu akan berubah kerana semakin banyak manuskrip serta bahan perpustakaan yang lain hanya boleh didapati dalam imej digital atau mikrofilem atau mikrofis.
Masalah lain yang rumit ialah bahan-bahan dalam bentuk mikro, misalnya, masih dilayan sebagai ‘anak tiri’, dalam erti kata bahan-bahan itu tidak diklasifkasi, maka terpaksa disusun mengikut nombor perolehan masing-masing. Masalah itu masalah pentadbiran kerana perpustakaan yang berkenaan tidak mempunyai kakitangan yang terlatih dan sepenuh masa untuk mengendalikan koleksi bahan-bahan mikro. Akibatnya, pihak perpustakaan sendiri mungkin tidak tahu adanya manuskrip yang tertentu di perpustakaannya. Selagi sistem itu tidak diubah, selama itulah lingkaran sebab dan akibat yang berputar-putar (vicious cycle) yang merugikan seperti yang dibincangkan tadi akan berulang. Namun demikian, sebab bahan-bahan mikro, misalnya tidak popular ialah sukarnya mendapat alat-alat membaca bahan-bahan iyang sesuai.
Selain pustakawan, ramai juga sarjana sastera Melayu tradisional telah memainkan peranan ‘dilpomak’ menolong pengkaji yang baru yang tidak berpeluang melawat perpustakaan di tempat atau negara yang jauh mendapatkan manuskrip Melayu. Nama seperti Teeuw, Kratz, Voorhoeve, Drewes, Chambert-Loir, Liaw Yock Fang, Russell Jones, Abu Hassan Sham dan Ismail Hussein sudah menjadi buah mulut sarjana dan pengkaji sastera Melayu tradisional, selain kerapkali dicatat dalam disertasi dan hasil penyelidikan. Mungkin disebabkan lebih mudah dan cepatnya mendapatkan manuskrip Melayu melalui pertolongan peribadi sarjana-sarjana itu, ramai orang di Malaysia, misalnya, mendapati mendapatkan manuskrip daripada sarjana adalah jauh lebih mudah dan cepat daripada melalui sistem brokrasi yang bertali-temali di perpustakaan. Walaupun semua institusi dan perpustakaan mempunyai ahli komuniti mereka sendiri, tetapi kerjasama yang membolehkan perkongsian maklumat di peringkat kebangsaan itu harus diutamakan daripada autonomi institusi yang berlainan itu. Tetapi, memandangkan kita belum mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk mengenakan tuntutan itu, maka perpustakaan universiti dan penyelidikan yang dibiayai dengan wang kerajaan telah kekal sebagai institusi ‘peribadi’. Mereka masih lagi mempunyai hak mutlak untuk menentukan sama ada mahu berkerjasama dengan perpustakaan lain atau tidak. (Tamat)
Dikirim oleh
Ding Choo Ming, Ph D
Pensyarah FTSM/ Felo ATMA
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi
Tel 8293584/8292167
Beberapa Cadangan
Banyak cadangan telah dibuat di masa lampau dalam membaiki sistem pembekalan manuskrip Melayu di Malaysia. Banyak seminar dan bengkel telah juga diadakan untuk mencari jalan meningkatkan penyelarasan dari segi perolehan, pemikrofileman dan saling tukar-menukar maklumat bibliografi. Tetapi, kemajuan ke arah itu memerlukan komitment semua pihak. Pernah juga dicadangkan pada masa lampau semua manuskrip di Malaysia dipusatkan di sebuah institusi. Di era maklumat digital, lebih-lebih lagi perpustakaan digital (Ding 1997) soal pemusatan seperti itu tidak perlu dibangkitkan. Kini, lokasi bahan sudah tidak penting; yang penting ialah kerjasama dan perkongsian maklumat dan teknologi, lebih-lebih lagi kebolehan menggunakan teknologi itu. Sementara itu, manuskrip ‘induk’ patut dikekalkan di institusi yang berkenaan. Yang penting ialah institusi yang berkenaan bertanggung jawab menjaganya dengan baik agar ia boleh diperturunkan ke generasi yang akan datang dan juga institusi itu mempunyai sistem pembekalan yang baik. Kesemua faktor yang tersebut itu merupakan anak kunci yang penting untuk membolehkan pembaca mendapatkan manuskrip yang dikehendaki. Kesemua fakor itu bergantungan di antara satu dengan yang lain. Sama ada Pusat Manuskrip Negara yang sudah ditubuhkan di Perpustakaan Negara Malaysia pada Oktober 1984 itu dapat memainkan peranan pembentukannya juga bergantung pada adanya kesemua faktur tadi. Koleksi manuskrip mesti dikembangkan, setiap manuskrip mesti didokumentasikan, didigitasikan dan manuskrip induk perlu dijaga dengan sebaik mungkin.
Rujukan